KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.0 peratus dalam mesyuarat dasar monetarinya yang akan datang pada 11 Julai, walaupun dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini, kata Standard Chartered Bank (Singapore) Ltd (StanChart Singapura).


Ringkasan AI
  • Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar faedah OPR pada 3.0% dalam mesyuarat pada 11 Julai.
  • Standard Chartered akan memantau perubahan inflasi selepas rasionalisasi subsidi diesel yang dijangka meningkatkan inflasi sebanyak 0.1%.
  • BNM akan menilai ringgit, yang mereka katakan tidak mencerminkan ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia.


Bagaimanapun, katanya ia akan memantau sebarang perubahan terhadap prospek inflasi BNM berikutan rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada 10 Jun.

"Anggaran awal kami adalah impak sederhana 0.1 mata peratusan (ppt) terhadap inflasi berikutan ciri pemotongan subsidi yang disasarkan.

"Bagaimanapun, kami akan memerhati kesan pusingan kedua, terutama memandangkan mungkin terdapat rasionalisasi subsidi yang seterusnya dalam keadaan pemulihan pertumbuhan Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan global hari ini.

StanChart Singapore berkata ia juga akan memantau perubahan dari segi penilaian BNM terhadap ringgit selepas bank pusat itu menerusi nota pada Mei berkata "ringgit pada masa ini tidak mencerminkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia."

Pada 9.05 pagi, ringgit tidak berubah pada 4.7070/7130 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada 4.7065/7110 semasa ditutup pada Jumaat.

-- BERNAMA