Bekas CEO Malaysia Airlines, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman mencadangkan agar jawatan yang akan dikosongkan Mueller dapat digantikan dengan individu tempatan.
Menurut Tan Sri Abdul Aziz, banyak calon tempatan yang layak menggantikan tempat Mueller untuk mengepalai syarikat penerbangan nasional itu.
"Kita akan cari orang yang ada pengalaman. Ramai kalangan pekerja kanan dan bekas pekerja kanan Malaysia Airlines sendiri yang boleh kita pilih. Takkan tiada orang kita yang boleh buat seperti yang dia (Mueller) buat.
"Kita tidak perlu orang luar. Kita perlukan orang tempatan untuk memimpin syarikat penerbangan nasional kita. Kerana orang tersebut lebih memahami budaya kerja kita dan ada 'roh' orang kita," kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Tambah beliau lagi, sesiapa yang dilantik selepas ini akan mampu memulihkan syarikat penerbangan negara itu susulan faktor pasaran yang membantu.
"Harga minyak telah menyaksikan penurunanan lebih 50 peratus sejak kebelakangan ini dan ia pasti akan mengurangkan kos operasi. Selain itu kita juga ada pekerja yang terlatih dan berpengalaman dalam bidang penerbangan dan pemasaran. Saya tidak nampak kenapa kita tidak boleh menjayakannya," ujar beliau.
Sehubungan itu katanya, pengunduran Christoph Mueller daripada Malaysia Airlines Berhad (MAB) September ini tidak akan memberi apa-apa impak terhadap pengoperasian syarikat itu.
Pada Selasa, Malaysia Airlines Berhad (MAB) mengumumkan pengunduran awal Christoph Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan syarikat berikutan hal peribadi.
Syarikat berkenaan turut mengumumkan sudah memulakan pencarian calon baru untuk jawatan tersebut