KUALA LUMPUR: Cadangan kenaikan gaji minimum dalam Belanjawan 2025 dijangka tidak memberi tekanan besar terhadap inflasi dalam konteks ekonomi semasa, menurut pakar ekonomi, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid.

Beliau yang juga Profesor Adjung di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya (UM), berkata demikian susulan jangkaan pengumuman Perintah Gaji Minimum (PGM) baharu esok, yang sepatutnya menggantikan kadar lantai RM1,500 untuk pekerja sektor swasta yang telah tamat tempoh.

Meskipun kenaikan gaji minimum sering dikaitkan dengan kenaikan kos pengeluaran yang boleh menyumbang kepada inflasi, Zakariah menegaskan bahawa tekanan inflasi akibat PGM baharu mungkin tidak begitu ketara.

“Inflasi yang semakin ketara pada masa ini adalah berpunca lebih daripada tarikan permintaan hasil daripada pemulihan ekonomi global berbanding daripada tolakan kos yang mungkin disebabkan oleh kenaikan gaji,” katanya.

Tambahan lagi, inflasi domestik banyak dipengaruhi oleh turun naik kadar tukaran ringgit yang kini semakin mengukuh. Katanya, atas faktor ini, kemungkinan wujud tekanan yang kuat akibat dari kenaikan gaji tidak begitu ketara.

Zakariah juga menekankan bahawa produktiviti pekerja mesti ditingkatkan seiring dengan kenaikan gaji minimum. Katanya, peningkatan teknologi dan kemahiran dalam tenaga kerja diperlukan untuk memastikan pertumbuhan produktiviti sejajar dengan dasar gaji progresif yang akan diperkenalkan oleh kerajaan.

Inisiatif Gaji Minimum Kebangsaan diumumkan dalam Pembentangan Bajet 2011.

Gaji minimum mengikut Akta 732 adalah gaji pokok, tidak termasuk apa-apa elaun atau bayaran lain.

Antara faktor-faktor penentu gaji minimum ialah pendapatan garis kemiskinan, pertumbuhan produktiviti dan indeks harga pengguna.