KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal menyediakan peruntukan sehingga 10 peratus daripada jumlah pelaburan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2024, sebagai pemangkin untuk memacu misi NIMP, dengan dana permulaan 2024 sebanyak RM200 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, Kerajaan mewujudkan Kerangka Ekonomi MADANI khusus bagi memeta nama Malaysia sebagai jaguh ekonomi serantau.

Bagi mencapai hasrat tersebut, jelasnya lagi, struktur ekonomi perlu dirombak dan disusun semula supaya potensi yang ada dapat dikembangkan.

“NIMP menyasarkan jumlah pelaburan keseluruhan sehingga RM95 bilion di samping melibatkan 3.3 juta peluang pekerjaan, dengan gaji penengah sehingga RM4,510 sebulan menjelang 2030,” katanya lagi.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, antara isu struktur yang membelenggu sistem ekonomi termasuklah sektor perindustrian yang menguncup sebelum masanya, manakala sumbangan industri pembuatan kekal di bawah paras 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi mengekang masalah tersebut, beliau berkata, keutamaan pelaburan masa hadapan ditumpukan kepada bidang yang berpertumbuhan dan bernilai tinggi atau high growth high value (HGHV).

“Pendekatan insentif berasaskan keberhasilan ialah satu dimensi baharu yang menggunakan sistem tiering dalam pemberian insentif.

“Ia akan merancakkan syarikat untuk menjana ekonomi melalui pelaburan di dalam bidang berpertumbuhan dan bernilai tinggi dan seterusnya mewujudkan kluster ekonomi baru, memperluas rangkaian domestik dan mengimbangi kelestarian ekonomi dan alam sekitar,” katanya lagi.

Dengan langkah tersebut Perdana Menteri berkata, syarikat menikmati insentif yang setara dengan komitmen yang dilaksanakan.

Sebagai permulaan, tambahnya lagi, Kerajaan bercadang untuk memberikan galakan cukai pelaburan semula secara tiering dalam bentuk elaun cukai pelaburan sebanyak 70 peratus atau 100 peratus.