Hasrat kerajaan untuk mencapai bajet seimbang mungkin tertangguh dua hingga tiga tahun daripada sasaran 2020, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata ketika sasaran untuk mencapai bajet seimbang dibuat, harga minyak dunia didagangkan antara US$90 dan US$100 setong.

"Hari ini kerajaan masih perlu berbelanja untuk merangsang ekonomi, jadi kami memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai bajet seimbang itu.

"Sasaran asal kami ialah pada 2020, namun kami mungkin memerlukan dua hingga tiga tahun lagi untuk mencapainya. Jika anda mengecilkannya terlalu cepat, ia akan menjejaskan perbelanjaan dan ekonomi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Korporat Tahunan Malaysia ke-10 CIMB Group Holdings Bhd, di sini hari ini.

Ditanya sama ada kerajaan mahu mengurangkan perbelanjaan atau meningkatkan pendapatan bagi mencapai bajet seimbang, Johari berkata usaha untuk meningkatkan pendapatan melalui cukai sepatutnya sepadan dengan pematuhan.

"Kami mahu menambah pendapatan dari segi pematuhan cukai. Apabila semua orang patuh, maka kami meletakkan semua orang pada kedudukan yang seimbang dan adil.

"Jika tidak, akan berlaku syarikat tulen yang membayar gaji kepada pekerja (sah), membayar cukai, cukai korporat, GST, namun mereka perlu berjuang dengan ekonomi bayangan, ekonomi gelap yang tidak membayar cukai.

"Dalam tempoh jangka panjang, syarikat tulen ini akan menderita. Itu sebab sistem pematuhan sangat penting.

"Justeru, kerajaan juga perlu mengurus beberapa proses untuk memastikan pematuhan bagi memastikan pematuhan secara beransur-ansur ini tidak akan menjejaskan perniagaan secara menyeluruh," katanya.

Sementara itu, Johari berkata kerajaan akan meneruskan langkah mengurangkan kos dan mengurangkan perbelanjaan.

"Namun kerajaan juga berusaha (keras) untuk meningkatkan produktiviti, membawa inovasi dan pelaksanaan e-kerajaan sehingga dapat mengurangkan kos tetap.

"Apabila ekonomi tumbuh seiring peningkatan jumlah kerja, kos tetap masih kekal. Itulah strategi yang akan dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA