Pelantikan itu diumumkan oleh Pengerusi MDEC Syed Ibrahim Syed Noh, yang memperkenalkan Anuar pada acara Festival Kandungan Digital Malaysia 2024 di Kuala Lumpur hari ini.
"Hari pertama hari ini sebagai CEO baharu MDEC," kata Syed Ibrahim.
Pemilihan Anuar Fariz sebagai CEO pertama kali dilaporkan oleh DagangNews pada 1 Oktober lalu, memetik sumber yang rapat dengan proses tersebut.
"Pelantikan Anuar Fariz telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan Lembaga Pengarah MDEC dijadual bersidang pada Rabu bagi memformalisasikannya," kata sumber.
Anuar Fariz pernah menjadi pegawai khas kepada Dato’ Sri Mustapa Mohamed semasa berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan dan Antarabangsa Malaysia pada 2013 hingga 2017.
Beliau seterusnya menyertai Axiata sebagai Ketua Pengurusan Pihak Berkepentingan Kerajaan Wilayah dan seterusnya sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif - Strategi Sektor Awam & Ekonomi Digital di Celcom Axiata Berhad pada 2019.
Anuar Fariz mengambil cuti belajar semasa pandemik COVID-19 bagi mengikuti pengajian Sarjana dalam Dasar Awam Antarabangsa di Universiti Johns Hopkins, Sekolah Pengajian Antarabangsa Lanjutan di Washington D.C.
Beliau menyertai TikTok Malaysia pada Februari lalu.
Jawatan CEO MDEC telah kosong sejak 1 September lalu, berikutan tamatnya perkhidmatan Mahadhir Aziz pada 31 Ogos 2024.
Pemilihan Anuar Fariz dilihat sebagai `calon luar' berbanding tiga nama yang bukan sahaja disenarai pendek tetapi dikatakan sudah melalui proses temuduga.
Mereka terdiri daripada Dzuleira Abu Bakar, bekas CEO MRANTI yang dipandang tinggi oleh ekosistem syarikat permulaan; Azizah Aziz, yang telah menghabiskan seluruh kerjaya korporat mereka dalam satu organisasi, dalam kesnya, hampir 27 tahun di Microsoft Malaysia di mana dia kini menjadi COO.
Dan yang terakhir Datuk Shah Sidek, yang merupakan Lembaga Pengarah Dataprep Holdings Bhd yang baru dilantik. - DagangNews.com