PADA Sabtu lalu perkhidmatan PlayStation Network (PSN) terganggu sehingga 20 jam menyebabkan pemilik PlayStation bukan sahaja tidak dapat bermain secara dalam talian tetapi permainan digital yang dimiliki menerusi PlayStation+ juga tidak boleh dimainkan kerana lesen tidak boleh disahkan.

Lebih kritikal, pemacu Blu-Ray untuk PS5 Pro serta PS5 Slim turut tidak boleh membaca cakera permainan fizikal kerana tidak dapat disahkan dalam talian.

Berhadapan dengan jutaan pelanggan PlayStation+ yang mengamuk, Sony mengumumkan pampasan dalam bentuk akses 5 hari percuma kepada semua pelanggan yang terjejas.

Sony hanya mengatakan gangguan kepada rangkaian adalah disebabkan oleh isu teknikal dan bukan disebabkan oleh serangan penggodam seperti pada 2011 yang menyebabkan PSN tergendala selama 23 hari.

Walaupun akses percuma telah diberikan, ramai pelanggan yang masih merungut menerusi media sosial kerana merasakan pampasan yang diberikan tidak memadai.

Gangguan berlaku pada hujung minggu yang mungkin dua hari mereka dapat menikmati permainan video dan bertindan dengan ujian Monster Hunter Wilds Beta.

Foto Amanz