KUALA LUMPUR: AirAsia telah menyelesaikan lebih 90 peratus bayaran balik kepada penumpang setakat ini walaupun masalah kewangan yang dihadapi oleh industri penerbangan akibat pandemik COVID-19 dan dijangka tidak menghadapi halangan untuk menyelesaikan lebih banyak bayaran balik dalam masa beberapa bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Bhd), Tan Sri Tony Fernandes berkata ia dianggap pencapaian yang luar biasa kerana dapat dicapai tanpa sebarang sokongan kewangan daripada kerajaan dan melibatkan jumlah besar berbanding syarikat penerbangan lain kerana AirAsia telah membawa kira-kira 90 juta penumpang sebelum penularan COVID-19.

"Saya perlu menentukan sama ada AirAsia X atau AirAsia. AirAsia telah mengendalikan lebih 90 peratus bayaran balik dan ia tidak menjadi isu kerana kami telah bertindak secara telus. Pelanggan kami memahami bahawa kami telah memberi sokongan walaupun wujud rungutan dan pihak media juga menimbulkan isu tersebut," katanya kepada pemberita pada pelancaran secara maya pelan 'Super+' baharu airasia Super App hari ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu melihat sokongan padu di mana ia telah mencapai prestasi di luar jangkaan dalam kebanyakan pasaran domestik.

"Bayaran balik akan dilakukan apabila penerbangan disambung semula. Di Malaysia, mungkin dalam tempoh beberapa bulan dan Filipina dalam tempoh enam bulan," katanya.

Beliau berkata pelanggan AirAsia X juga akan mendapat baucar apabila syarikat penerbangan itu memulakan operasi semula bagi berlaku adil syarikat penerbangan jarak jauh tambang rendah itu terhadap penumpangnya.

Mengenai pelan Super+, Fernandes berkata ia adalah pas pertama yang menggabungkan penerbangan dan penghantaran makanan selama setahun dalam satu pakej yang disifatkannya sebagai setara dengan Amazon Prime dan Netflix dan menggantikan semua pas tanpa had yang diperkenalkan sebelum ini.

Sementara itu, airasia Super App dalam satu kenyataan berkata AirAsia menawarkan 200,000 Super+ langganan di empat negara -- Malaysia, Filipina, Indonesia dan Thailand, untuk masa terhad mulai hari ini hingga 2 April, 2022.

Ia berkata Super+ ialah perkhidmatan langganan tanpa had yang menawarkan penerbangan tanpa had dengan perlindungan insurans COVID-19 dan penghantaran makanan percuma selama setahun berbanding pas sebelumnya, penerbangan percuma tanpa had yang hanya meliputi tambang asas.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata Super+ ialah produk yang belum pernah ada sebelum ini di ASEAN yang menawarkan faedah perjalanan dan gaya hidup yang tidak pernah disediakan sebelum ini.

"Kami berbangga menjadi satu-satunya aplikasi super dalam pasaran yang mampu menawarkan pelan langganan yang unik ini merangkumi produk dan perkhidmatan pelancongan serta gaya hidup, ia dengan jelas meletakkan kami sebagai pembekal pilihan untuk rantau ini," katanya.

Beliau berkata perjalanan udara mengalami pemulihan yang kukuh terutamanya dengan pelbagai negara di seluruh ASEAN mengumumkan pembukaan semula pintu sempadan dan lebih banyak pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

"Super+ sudah pasti akan memudahkan perjalanan dengan harga berpatutan dan mudah untuk semua orang melawat dan meneroka banyak destinasi dalam rangkaian rangkaian luas AirAsia Aviation Group.

"Selain itu, pelanggan juga mempunyai akses kepada yang terbaik daripada apa yang ditawarkan oleh airasia Super App melalui pelbagai saluran penghantarannya di seluruh rantau ini," katanya.

Pelan langganan Super+ berharga RM639 di Malaysia, 4,999 baht di Thailand, 2.3 juta rupiah di Indonesia dan 6,599 peso di Filipina dan boleh dibeli di Apl Super airasia dengan klik pada ikon "Super+".

Pelanggan Super+ akan dapat menebus penerbangan mereka dari 28 Mac, 2022 hingga 27 Mac, 2023 dan sah untuk perjalanan dari 11 April, 2022 hingga 10 April, 2023.

-- BERNAMA