Kumpulan AirAsia menjangka syarikat pegangan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) akan ditubuhkan dalam tempoh lima hingga enam bulan akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tony Fernandes.

Katanya, syarikat itu sedang berusaha ke arah mematuhi semua aspek perundangan yang diperlukan bagi mewujudkan satu syarikat penerbangan ASEAN tunggal dan meningkatkan kecekapan perniagaan.

"Sebaik ia diluluskan, syarikat pegangan ASEAN akan diwujudkan. Kami mahu mewujudkan syarikat pegangan ASEAN yang memiliki syarikat penerbangan itu 100 peratus. Ini impian utama saya," katanya kepada pemberita ketika melancarkan rekaan grafik istimewa "I Love ASEAN", di Ibu Pejabat Tentera Udara Filipina di Metro Manila di sini, hari ini.

Kumpulan itu memiliki 49 peratus kepentingan dalam AirAsia Indonesia, AirAsia Philippines dan AirAsia Thailand.

Sementara itu, Fernandes berkata, kumpulan berkenaan sedang berusaha untuk menyenaraikan AirAsia Indonesia dan AirAsia Philippines.

Fernandes enggan mengulas mengenai berita yang AirAsia akan beroperasi di Sri Lanka.

"Saya tidak mahu mengulas. Saya berpendapat ia hanya spekulasi," katanya.

Dilaporkan yang syarikat penerbangan tambang rendah itu sedang berusaha mendapatkan kelulusan kerajaan bagi beroperasi di negara tersebut, dengan 51 peratus pegangan dimilik kerajaan Sri Lanka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kumpulan itu akan menerima 28 pesawat baharu secara berperingkat-peringkat tahun depan dalam usaha menghubungkan lebih banyak laluan ke bandar sekunder dan utama di rantau ini.

Menurutnya, kumpulan itu merancang melancarkan laluan Kuala Lumpur-Davao (Filipina) pada 21 Disember 2017 diikuti penerbangan Phuket (Thailand) - Boracay (Filipina) tidak lama lagi.

"Kami terhutang budi kepada ASEAN atas kejayaan kami. Sebagai sebuah syarikat penerbangan ASEAN, kami ingin menyatukan masyarakat di rantau ini," katanya.

Mengenai penerbangan ASEAN, Fernandes berharap rantau ini akan mempunyai visa ASEAN dan pihak berkuasa penerbangan tunggal bagi mengawasi industri yang sedang berkembang itu.

"Saya sudah lama berkempen untuk visa ASEAN. Penumpang China tidak perlukan 10 visa berbeza untuk melawat negara anggota ASEAN. Saya percaya kesedaran semakin meningkat mengenai perkara ini.

"Dengan pusat data yang kita ada, saya percaya perjalanandalam ASEAN perlu menjadi lebih mudah," katanya.

Sebelum itu, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, Dr AKT Mochtan berkata, 43 peratus daripada 116 juta pelancong antarabangsa yang melawat ASEAN adalah pelawat intraASEAN.

Berikutan itu, Mochtan telah meminta Ferdandes untuk memperkenalkan program pengalamanASEAN bagi merangsang industri pelancongan intraASEAN.

"Kami berharap untuk melihat AirAsia menjadi pilihan utama untuk orang ramai membuat perjalanan, Kami juga mahu menggalak AirAsia untuk menerajui inovasi dalam industri penerbangan dan menjadikan perjalanan lebih murah dan mudah," katanya.

Mochtan berkata, beliau yakin sasaran 121 juta pelancong ASEAN yang ditetapkan pada akhir tahun, boleh dicapai.

Sebelum itu, Mochtan dan Fernandes melancarkan rekaan grafik istimewa 'I Love ASEAN' yang memaparkan keunikan 10 negara anggota.

Semua pesawat AirAsia di rantau ini akan memaparkan bendera ASEAN sebagai tambahan kepada bendera kebangsaan mereka.

Kumpulan itu juga melancarkan siri inisiatif 'AirAsia Cintakan ASEAN' bagi meraikan ulang tahun ke-50 ASEAN.

Inisiatif terbabit merangkumi kerjasama AirAsia dengan univeristi ASEAN, hari usahawan ASEAN, kem wartawan ASEAN dan program mobiliti All-Stars.

-- BERNAMA