APA yang kita faham daripada arahan Ketua Polis Negara kepada pasukan Polis Di-Raja Malaysia untuk menyiasat seorang pengguna Twitter yang didakwa mempersendakan nahas penerbangan MH370?

Ini arahan seorang ketua dalam sebuah pasukan yang harus mempertahankan disiplin berpasukan. Arahan harus dipatuhi atau akan ada kesan kalau ingkar. Tidak mungkin sebuah pasukan yang berdisiplin ingkar arahan ketua, mana boleh.

Tidak sampai satu jam, arahan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dihebahkan melalui Twitter itu pun dilaksanakan.


Ini tindakan serta-merta. Syabas juga kerana ini sistem komunikasi yang sangat telus dan terbuka. Kita semua tahu apa yang polis buat. Orang yang hendak disiasat pun tahu.

Apakah yang ditulis oleh pemilik akaun Twitter @ollie_mollie? Dia membalas tweet Perdana Menteri dan mengatakan kehilangan penerbangan MH370 bukan nahas sebaliknya satu konspirasi. Tidak lama selepas arahan Ketua Polis Negara melalui Twitter itu, akaun itu sudah tak ada, sudah dihapuskan. Hilang.

Ini agaknya kali pertama polis menyiasat orang yang mendakwa adanya konspirasi dalam kehilangan MH370 sejak pesawat Malaysia Airlines itu ghaib lebih 10 bulan lalu. Ini cerita besar. Ini sejarah yang harus dicatat.

Apakah ini satu-satunya kes yang akan disiasat? Kita tidak tahu, selepas ini mungkin ada lagi. Mungkin selepas kes @ollie_mollie ini PDRM akan menyiasat semua individu -- termasuk media -- yang dalam tempoh 10 bulan lepas pernah menyebut, menulis atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur konspirasi berkait dengan MH370.

Ini tentunya bukan kes yang pertama dan terakhir. Mana mungkin pihak berkuasa yang mengangkat sumpah mengawal keluhuran undang-undang dan menguatkuasakannya tanpa gentar memilih-milih kes yang hendak disiasat dan tidak disiasat. Mustahil. Itu tidak bertanggungjawab namanya. Semua kes, semua laporan polis kena siasat. Undang-undang tidak mengenal sesiapa; semua orang tunduk kepada undang-undang yang sama. Apatah lagi menurut laporan media polis nampaknya sangat memandang serius cakap-cakap mengenai teori konspirasi ini.

"Kita sedang cuba mententeramkan (waris korban MH370). Jadi, kalau tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi pada MH370, jangan gatal mulut kata sesuatu yang tidak masuk akal dan tiada bukti," kata Khalid seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar.

Yang "gatal mulut" ini bukan baru ini saja. Ini cerita sudah 10 bulan. Jangan ada yang bertanya: "Why now? Why now? Dah lama dah." Yang penting, polis sudah dapat arahan untuk kesan dan buru.

Banyak kes yang polis kena siasat sekarang kerana ada macam-macam cerita "gatal mulut" tentang MH370. Mereka yang menyebarkan cerita pesawat terbang rendah di Maldives mesti dikesan dan diambil tindakan. Ada juga cerita kononnya pesawat dirampas dan disembunyikan di suatu tempat rahsia -- katanya di Afghanistan -- untuk digunakan dalam satu serangan ganas. Elok ambil tindakan. Ada cerita kononnya juruterbang bunuh diri; apa motifnya tidak pasti. Ambil tindakan. Ada juga cerita pesawat itu tidak pernah patah balik tetapi jatuh di Laut China Selatan. Ambil tindakan. Pesawat ditembak jatuh oleh tentera Amerika Syarikat. Ambil tindakan.

Ada juga cerita yang sempat popular yang terkait dengan persaingan teknologi risikan Amerika dan China. Tidak sah juga cerita-cerita macam ini kalau tidak dikaitkan dengan agenda Yahudi. Selebihnya, ada juga yang menghebahkan pesawat itu diculik oleh makhluk asing. Stesen berita CNN malah sempat mengupas kemungkinan pesawat disedut oleh lubang hitam di angkasa raya dan kini berada dalam dimensi ruang dan waktu yang lain.

Ini semua mesti disiasat dan dibungkamkan. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mengganggu ketenteraman dan mengacau perasaan ahli keluarga waris penumpang dan anak kapal MH370 yang berdukacita. Cakap-cakap gatal mulut yang tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi kepada MH370 mesti dihentikan. Tidak ada ampun.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah dalam satu tulisan di blognya pada 18 Mei 2014 mengutarakan satu teori konspirasi tentang kehilangan penerbangan MH370. Kata Dr. Mahathir, adalah tidak adil untuk MAS dan Malaysia dipersalahkan kerana hilangnya MH370. "Ada pihak yang menyembunyikan sesuatu," tulisnya.

Dr. Mahathir merujuk kepada sistem keselamatan yang dilaporkan dimiliki oleh Boeing bagi melindungi pesawat kepunyaan syarikat itu daripada dirampas oleh pengganas. Sistem itu dikatakan boleh mengendalikan penerbangan pesawat menuju ke destinasi tertentu secara automatik. Kawalan itu boleh diaktifkan sama ada secara langsung atau dari jarak jauh. Tulis Dr. Mahathir, buang masa dan duit mencari pesawat itu kerana "ia ada di suatu tempat, mungkin tanpa tanda MAS."

Bukan Dr. Mahathir seorang yang pernah berfikir begitu. Ada banyak yang cakap-cakap begitu. Kita sebagai rakyat yang setia dan sayang negara mestilah membantu. Tentu kita akan bantu. Kalau ada komen-komen seperti @ollie_mollie yang kita nampak di mana-mana laman web atau di media sosial, tentu kita akan laporkan kepada polis. Kita mesti bantu. Kalau bukan kita, siapa?

Kerana negeri ini masih aman dan dek kadar jenayah telah diturunkan -- bersyukur kita, Alhamdulillah -- inilah yang harus kita lakukan sekarang. Kita buru mereka yang gatal mulut percaya dan sebar teori konspirasi.