Faisal Tehrani
Thu Jan 16 2014
UMUM mengetahui agama Islam tersebar di rantau Timur Tengah dengan cara yang berbeza berbanding penyebaran Islam di sini. Ini kerana penyebaran Islam di rantau Nusantara ialah menerusi seni dan budaya. Bukan melalui peperangan.
Ambil sahaja gerakan dakwah Wali Songo sebagai contoh. Setiap seorang daripada mereka mempunyai bentuk perjuangan budaya yang berbeza. Jika kita menyorot Sunan Ampel anak Maulana Malik Ibrahim, beliau menjadikan slogan Mo Limo atau “moh main, moh ngombe, moh maling, moh madat, moh madon” sebagai strategi dakwahnya.
Ia adalah seruan untuk tidak berjudi, tidak minum minuman keras, tidak mencuri, tidak menggunakan dadah, dan tidak berzina. Persoalan akhlak ditekankan mengatasi persoalan fikah dan akidah. Ini kerana akhlak itu sendiri dapat menjadi satu dakwah.
Dakwah estetika
Hal yang sama terlihatkan pada Sunan Bonang. Beliau dimaklumi suka berkunjung ke daerah-daerah terpencil di Tuban, Pati, Madura dan Pulau Bawean untuk berdakwah dalam kalangan masyarakat Hindu. Dalam kunjungan beliau yang memakan masa beberapa lama itu Sunan Bonang sangat suka membuka atau menggali sumber air di tempat-tempat yang dikunjungi. Ajaran Sunan Bonang lebih kepada kesufian dengan menekankan falsafah cinta atau ‘isyq.
Untuk mereka yang mendalami subjek kesufian, ajaran Sunan Bonang dapat dihubungkan dengan ajaran Maulana Jalaludin Rumi, penyair dan ahli sufi Parsi yang menetap di Konya, Turki. Hal yang paling menarik, ajaran tersebut disampaikan oleh Sunan Bonang melalui saluran kesenian yang disukai masyarakat. Dalam hal ini, Sunan Bonang bekerjasama dengan murid kesayangannya, Sunan Kalijaga.
Bukan itu sahaja Sunan Bonang juga dikenali sebagai seorang pengarang. Beliau banyak melahirkan karya sastera yang dinamai suluk, atau tembang tamsil. Salah satu yang paling tersohor adalah “Suluk Wijil” yang dikatakan terpengaruh dengan kitab Al Shidiq karya Abu Sa’id Al Khayr. Kalau suluknya ditekuni, pembaca akan mendapati beliau banyak menggunakan perbandingan cermin, bangau atau burung laut. Pendekatan begini turut digunakan oleh ulama silam lain seperti Ibnu Arabi, Fariduddin Attar, Rumi serta Hamzah Fansuri.
Tidak cukup dengan itu, Sunan Bonang telah menjadi komposer yang terkenal dengan menggubah banyak muzik gamelan Jawa yang pada saat itu cukup pekat dengan estetika Hindu. Gubahan gamelan Sunan Bonang ada unsur zikir yang menggalakkan kecintaan kepada kehidupan alam akhirat. Tembang yang paling terkenal daripada beliau ialah Tombo Ati.
Luahan kesenian rohani
Lebih istimewa Sunan Bonang juga bermain drama, atau wayang kulit. Selalunya penonton akan khusyuk dengan pementasan beliau. Beliau suka menulis sebuah lakon seraya memasukkan tafsir ayat al-Quran dan ajaran-ajaran Islam. Sebagai contoh, di dalam ajaran Hindu Jawa terdapat sebuah kisah perseteruan Pandawa-Kurawa yang digemari umum, Sunan Bonang mencipta semula kisah tersebut lantas menjadikannya drama peperangan antara nafi atau peniadaan dan ‘itsbat atau peneguhan. Secara tidak disedari, beliau telah mengajar mengenai dua kalimah syahadah, atau prinsip tauhid itu sendiri.
Sunan Drajat atau Raden Qosim turut mengenengahkan seni suluk sebagai saluran berdakwah. Antara suluk petuah yang mengakar dalam diri orang Jawa ialah ajaran ‘berilah tongkat pada si buta, beri makan pada yang lapar, beri pakaian pada yang telanjang’. Sunan Drajat menggunakan aspek akhlak tersebut dengan membanaykkan pertolongan buat anak-anak yatim piatu dan fakir miskin.
Sementara itu, Sunan Giri yang dipanggil orang Jawa sebagai Raden Paku, atau nama betulnya Muhammad Ainul Yakin turut mengemukakan kesenian sebagai wadah dakwahnya. Sunan Giri adalah Wali Songo yang bukan sahaja berdakwah tetapi ikut terlibat dengan bidang politik, pendidikan dan tentu, kebudayaan. Pondok atau pesantren beliau Giri Kedaton sangat berpengaruh sehingga dilantik menjadi penasihat dan menteri pertahanan Kesultanan Demak.
Hal ini tercatat dalam Babad Demak. Bukan itu sahaja Sunan Giri juga diterima sebagai mufti, untuk seluruh Tanah Jawa kala itu. Anak murid Sunan Giri berdakwah pula di Sulawesi Selatan, namanya Datuk Ribandang. Beliau dinamakan Sultan Abdul Fakih dan juga merupakan seorang seniman yang luar biasa. Bahkan ada permainan kanak-kanak seperti jelungan, jamuran, lir-ilir dan cublak suweng disebut sebagai hasil seni Sunan Giri yang diteruskan oleh beliau.
Dalam pada itu, Sunan Gunung Jati pula menumpukan kerja-kerja kebajikannya sambil berdakwah. Beliau disifatkan sebagai arkitek yang menggamamkan pengikut agama Hindu waktu itu kerana memperkenalkan seni bina yang hebat-hebat. Paling unik sekali beliau juga membangunkan infrastruktur berupa jalan-jalan yang menghubungkan antara wilayah untuk memudahkan orang ramai. Ekoran dari itu, masyarakat Hindu-Jawa pada waktu itu lekas tertawan hati mereka dengan Islam.
Sunan Kudus atau nama betulnya Jaffar Shadiq juga seorang pencipta senibina yang mempesonakan. Kaedah Sunan Kudus mendekati masyarakat setempat yang masih Hindu pada zamannya ialah dengan memanfaatkan lambang-lambang Hindu dan Buddha. Hari ini jika kita mengamati masjid Kudus kita akan menemui bentuk menara, gerbang dan pancuran juga tempat berwudhu yang melambangkan lapan jalan Buddha.
Kompromi budaya, bukan akidah
Jangan cepat melenting dahulu. Ia bukanlah pluralisme agama tetapi merupakan kompromi budaya yang tidak bertentangan dengan Islam. Kompromi budaya (bukan akidah) adalah satu lagi strategi dakwah yang wajar dikuasai oleh pendakwah hari ini.
Sebagai contoh, pada satu masa Sunan Kudus ingin mengajar tafsir surah al-Baqarah, beliau dengan sengaja memancing masyarakat untuk datang ke masjid dengan menambatkan seekor sapi yang diberi nama Kebo Gumarang di halaman masjid. Orang-orang Hindu yang mengagungkan sapi atau lembu singgah sekejap di luar masjid dan mendengar ceramah agama Sunan Kudus tentang surah Al Baqarah yang bererti sapi betina.
Sunan Kudus dikenali sangat suka bercerita untuk meraih perhatian madh’unya. Menerusi cerita sapi sedemikianlah ramai penganiut Hindu-Jawa memeluk Islam. Sunan Kudus turut hebat sebagai Panglima Perang Kesultanan Demak. Beliau misalnya pernah berperang di bawah kepemimpinan Sultan Prawata, bertempur menentang Adipati Jipang.
Jika Sunan Kudus menggunakan pendekatan ‘cerita’, Sunan Muria pula berdakwah dengan lagu-lagu, mungkin dapat diandaikan sebagai nasyid. Lagu Sinom dan Kinanti yang masyhur dalam kalangan orang Jawa adalah ciptaan beliau. Dan tentu, bapa Sunan Muria iaitu Sunan Kalijaga adalah yang paling terkenal sekali jika kita menyinggung persoalan dakwah dengan kesenian. Beliau menggunakan seni ukir, wayang wong, gamelan, serta seni suara suluk sebagai wahana dakwah. Sunan Kalijaga mencipta busana Baju Takwa, beberapa perayaan seperti sekatenan, grebeg maulud, Layang Kalimasada, dan skrip drama Petruk Jadi Raja. Lanskap pusat kota Kraton yang ada di Jogjakarta hari ini turut diyakini sebagai karya Sunan Kalijaga.
Yang paling mustahak untuk dinyatakan di sini ialah metod dakwah Sunan Kalijaga dan kelapan-lapan wali ini sangat efektif. Sebahagian besar adipati atau pembesar Hindu di Jawa telah memeluk Islam di tangan Sunan Kalijaga. Antara yang berpengaruh ialah Adipati Padanaran, Kartasura, Kebumen, Banyumas, serta Pajang.
Hari ini, segala strategi dakwah dengan kompromi budaya ini akan dikelirukan dengan aksi pluralisme. Islam yang mendapat dokongan lokal adalah Islam yang tidak memaksakan. Tanpa dokongan budaya tempatan, agama Islam menjadi sebuah agama yang asing. Hari ini, pendakwah Salafi berusaha membuang segala unsur lokal ini dengan alasan ia adalah bidaah.
Toleransi dan kompromi budaya yang pernah disaksikan oleh rantau ini digugat dengan pendekatan keras ala Timur Tengah yang sama sekali tidak berhubungan dengan kita. Itulah puncanya gerakan Salafi, atau nama lainnya Wahabi dipandang serong oleh masyarakat dan menjadi duri dalam daging.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
* Dr. Mohd. Faisal, juga dikenali sebagai Fasial Tehrani, adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun UKM. Selain dari kerja akademik, beliau juga aktif dan cemerlang dalam bidang drama pentas dan sastera.
* Artikel ini pertama kali diterbitkan di http://www.projekdialog.com
*Projek Dialog adalah suatu ruang wacana sosial yang ingin memajukan debat dan persefahaman antara pelbagai suku kaum dan agama di Malaysia.
Peningkatan astronomikal harga rumah di bandar tidak tercapai akal
Jelas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, satu unit kondominium 1,000 kaki bernilai RM500,000 justeru GLC berkaitan dicadangkan bina rumah mampu milik kerana tanggungjawab terhadap rakyat dan bukan meraih keuntungan semata-mata.
85 peratus penjawat awam telah tandatangan opsyen SSPA - KSN
Sebanyak 85 peratus daripada 1.4 juta penjawat awam telah menandatangani opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) setakat ini.
Tunggakan bil elektrik cecah RM1.01 bilion - Akmal Nasir
Jumlah tunggakan bil elektrik di seluruh negara melonjak kepada RM 1.08 billion setakat September 2024, melibatkan 627,491 akaun yang bekalannya telah dipotong, menurut statistik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata angka ini meningkat berbanding tahun 2023, yang mencatatkan 464,076 akaun dipotong dengan tunggakan sebanyak RM945 juta.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata angka ini meningkat berbanding tahun 2023, yang mencatatkan 464,076 akaun dipotong dengan tunggakan sebanyak RM945 juta.
AWANI Ringkas: Pastor didakwa bunuh, simpan mayat ibu
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Peguam Khas AS gugur kes manipulasi pilihan raya terhadap Trump
Kes dokumen sulit telah digugurkan pada Julai oleh Hakim Mahkamah Daerah AS Aileen Cannon di Florida dengan Smith pada ketika itu merancang untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Komen Salah tentang kontrak memang 'pentingkan diri' - Bekas pertahanan Liverpool
Mohamed Salah mementingkan diri sendiri kerana menyatakan kekecewaannya secara terbuka terhadap kegagalan Liverpool menawarkan kontrak baharu kepadanya.
Pendidikan, nilai kemanusiaan penting diterapkan dalam kalangan generasi muda
PM Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kita boleh berjaya dalam pelbagai aspek seperti sains, teknologi dan lain-lain namun tidak boleh sama sekali hilang nilai kemanusiaan.
Malaysia harap banyak kolaborasi, perbincangan dengan Korea Selatan
PM Datuk Seri Anwar Ibrahim berkataa, kolaborasi itu bukan hanya melibatkan MoU tetapi perbincangan secara khusus dalam aspek pembelajaran seperti teknologi digital dan AI.
Perkahwinan Mahalini, Rizky Febian tidak sah
Mahkamah Agama Jakarta Selatan memaklumkan perkahwinan pasangan selebriti, Mahalini dan Rizky Febian diputuskan tidak sah.
Mahkamah Tinggi jadualkan empat hari dengar keterangan dua saksi dalam rayuan kes rogol Paul Yong
Mahkamah Tinggi menetapkan empat hari untuk mendengar keterangan dua saksi yang melibatkan bukti tambahan dalam rayuan kes rogol bekas ADUN Tronoh, Paul Yong.
Pluralisme, tolak ansur budaya dan strategi dakwah
Umum mengetahui agama Islam tersebar di rantau Timur Tengah dengan cara yang berbeza berbanding penyebaran Islam di sini. Ini kerana penyebaran Islam di Nusantara ialah menerusi seni dan budaya.