Benarkah kenyataan bahawa anak-anak kita pada hari ini semakin terpisah? Statistik enrolmen anak-anak kita di sekolah mengikut jenis sekolah pada tahun 2011 memperlihatkan hubungan antara mereka semakin terhakis. Di SJKC 96% muridnya terdiri dari kanak-kanak Cina, sedangkan di Sekolah Kebangsaan pula 97% muridnya adalah kanak-kanak bumiputera.

Bagaimana mungkin kita mencapai dasar pendidikan negara yang ingin memupuk hubungan kaum kalau statistik di atas menjadi ukuran. Berdasarkan satu kajian terkini yang dibuat oleh Prof. Datin Dr. Amla Salleh dan rakan-rakan, dua laporan penting dan satu akta pendidikan menjadi mercu tanda kepada polisi pendidikan dan garis panduan kurikulum yang memperkenalkan konsep Pendidikan Kebangsaan.

Kedua-dua laporan tersebut adalah Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Kedua-dua laporan ini menjadi input penting kepada penyediaan akta pendidikan 1961. Inilah permulaan dimana sekolah kebangsaan diperkenalkan dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan dengan sukatan pelajaran bercorak tempatan.

Laporan Razak 1956 malah menggariskan secara jelas di para 12 bahawa “Kami percaya yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.”

57 tahun sejak Malaya merdeka, 51 tahun sejak penubuhan Malaysia dan 58 tahun sejak Laporan Razak, kita masih lagi ‘beransur-ansur’ dalam soal menyatupadukan anak-anak daripada semua bangsa.

Sehingga hari ini pun isu perpaduan kaum terus dibincangkan malah YAB Perdana Menteri telah melantik 30 orang daripada pelbagai latar belakang untuk duduk berbincang dibawah Majlis Konsultatif Perpaduan Nasional sejak November 2013 untuk merangkakan satu pelan blueprint tentang bagaimana kita boleh memperbaiki tahap hubungan kaum dalam negara.

Persoalanya sekarang, apakah tahap hubungan kaum dalam negara kita pada waktu ini? Kalau mengikut apa yang kita baca dalam internet melalui media sosial, kita mungkin percaya bahawa rakyat Malaysia pelbagai kaum sudah bersedia untuk berparangan dan saling berbunuhan. Tetapi apakah sebenarnya situasi diperingkat akar umbi? Bagaimana kita ingin jelaskan kepada masyarakat luar bahawa sejak 1969, hanya mungkin peristiwa di Kampung Medan yang meragut nyawa daripada perselisihan kaum sedangkan 44 tahun kita dapat hidup bersama secara aman.

Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai etnik dan agama. Lumrah alam selalunya apabila ada kumpulan masyarakat yang mempunyai perbezaan, samada daripada segi budaya, agama atau pun bahasa maka akan mudah timbul perbalahan dan pertelingkahan. Kajian mengenai hubungan kaum ini dan usaha untuk cuba memahami apa sebenarnya tahap hubungan kaum di Malaysia telah dijalankan bertahun-tahun dan pelbagai fenomena cuba dijelaskan.

Malah Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang memperkenalkan fenomena kesepaduan sosial di Malaysia dalam kajian terkini beliau pernah menjelaskan satu ketika dahulu bahawa hubungan kaum di Malaysia berada pada tahap ketegangan yang stabil (stable tension). Apa yang dimaksudkan sebagai ketegangan yang stabil adalah apabila kita dapat melihat di mana rakyat boleh terus hidup secara harmoni, bersikap toleransi, walaupun wujud prejudis dan syak wasangka antara satu sama lain.

Tetapi realiti sebenarnya tahap hubungan kaum berdasarkan kajian yang dibuat penulis sendiri melalui Kajian Sistem Pemantauan Hubungan Etnik di Malaysia (KITA-MESRA), mendapati bahawa stable tension itu wujud kerana adanya kesepaduan sosial yang mengikat erat masyarakat berbilang kaum dalam Malaysia. Walaupun perjalanan ke arah perpaduan tidak semudah seperti yang kita harapkan, namun ianya menunjukan kesan yang sangat positif. Tidak dinafikan bahawa ikatan dalam kesepaduan sosial ini ada kalanya ditandakan dengan pertengkaran kecil namun ianya berjaya diselesaikan dengan segera melalui proses perundingan.

Ikatan antara pelbagai kaum dalam Malaysia ini sebenarnya bertiang-serikan perundingan, tolak ansur dan persetujuan antara pelbagai kelompok sosial yang berbeza, biarpun setiapnya bebas untuk menyuarakan kepentingan masing-masing. Justeru itu jalan kearah perpaduan rakyat negara ini sebenarnya telah dibentuk oleh ‘kesepaduan dalam kepelbagaian’ dengan destinasi terakhirnya unity in diversity atau perpaduan nasional.

Biarpun demikian, kesepaduan sosial yang dinikmati Malaysia tidak boleh diambil mudah. Dalam kata lain, ‘perpaduan’ yang kita idamkan itu seperti kata Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri masih dalam bentuk work-in-progress yang tidak boleh dinilai dengan nombor-nombor kaku. Yang perlu kita lakukan secara berterusan adalah untuk memantau apa yang berlaku dalam proses work-in-progress ini.

Dalam konteks tersebut, kajian KITA-MESRA telah dilaksanakan untuk membentuk satu sistem pemantauan tahap hubungan etnik di Malaysia yang dapat juga berfungsi sebagai sistem amaran awal yang dapat memaklumkan kepada kerajaan sekiranya ada menghidu punca-punca permasalahan yang boleh membawa kepada masalah perkauman yang lebih serius. Usaha ini dilakukan lebih-lebih lagi untuk memastikan ketegangan etnik dapat dikesan dengan lebih awal. Sekiranya dikenal pasti, ianya perlu diatasi sebelum berlaku perkara-perkara di luar kawalan.

Antara penemuan awal kajian ini menunjukkan bahawa kebanyakan masalah bukanlah yang berkaitan dengan hubungan kaum, tetapi yang perlu diberi perhatian tertumpu kepada isu-isu urus tadbir/governans yang memerlukan tindakan pihak berkuasa tempatan, seperti isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar, perumahan, pengangkutan dan keselamatan.

Apabila dilihat tahap hubungan kaum pula, kajian ini menunjukkan dapatan yang tinggi daripada segi persepsi tentang tahap hubungan kaum dalam negara. Begitu juga halnya dengan penemuan tentang tahap hubungan kaum di tempat tinggal dan di sekolah. Lebih meyakinkan apabila kita melihat dapatan kajian tentang profil identiti yang dipilih responden. 44.17% yang mahu diri mereka dikenali sebagai rakyat Malaysia adalah satu dapatan yang baik untuk masa depan Malaysia. Namun demikian kita akui tidak semuanya seindah yang diharapkan. Kita dapati ada sedikit kegusaran dalam tahap hubungan kaum di tempat kerja dan dipejabat kerajaan. Ada kepentingan untuk kajian lanjutan dibuat bagi memahami kenapa wujud persepsi ini.

Kembali kepada persoalan asal kita, adakah perlu kita risau melihat hanya satu kaum mendominasi satu jenis sekolah? Susah tentu, terutama melihat kepada enrolmen ke sekolah kebangsaan. Tapi mungkinkah kurang minat menghantar anak ke sekolah kebangsaan dalam kalangan kaum-kaum lain daripada Melayu dan bumiputera kerana mereka mementingkan soal kualiti. Apakah kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan sudah menurun? Atau adakah sekolah kebangsaan dilihat sudah terlalu mirip sekolah agama yang boleh menakutkan penganut agama-agama lain. Mungkin satu kajian perbandingan dari sudut kualiti pendidikan di sekolah jenis kebangsaan Cina berbanding dengan sekolah kebangsaan dan mengkaji persepsi kaum-kaum lain mengenai sekolah kebangsaan perlu dilaksanakan. Kita perlu memahami punca sebenar kenapa kaum-kaum lain sudah tidak lagi berminat menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan daripada mudah menjatuhkan hukuman bahawa kaum-kaum lain tidak patriotik kerana tidak menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Apa yang penting yang perlu kita tanam, biarpun dimana mereka bersekolah, apa pun alirannya, apapun bahasa pengantarnya, setiap daripada anak-anak kita ini adalah anak Malaysia. Kepada mereka masa depan negara ini akan digalaskan. Ibubapa punya peranan penting. Anak-anak ini perlu dididik di rumah untuk menghormati budaya, agama dan bahasa semua kaum di Malaysia. Anak-anak ini perlu diingatkan bahawa dalam menilai seseorang, bukan warna kulit, kepercayaan dan fahaman politik yang harus dijadikan ukuran. Setiap daripada mereka harus di ajar untuk berkawan dan berhubungan dengan teman dari semua kaum. Semangat setiakawan dan kepercayaan antara satu sama lain tanpa syak wasangka harus dilipatgandakan. Ini adalah perkara teras yang perlu diterapkan. Perpaduan tidak datang bergolek. Kita bersama harus berusaha untuk mencapainya. Semoga Malaysia terus aman, makmur dan Berjaya 57 tahun lagi.

Selamat menyambut hari Merdeka!

------------------------------------------------------------------------------------------------------

*Anis Yusal Yusoff ialah Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), UKM.
*
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.