Empat sahabat iaitu Norina Affiza, Hasnida Hamid, Nicholas Pillai dan Xavier Chin berkongsi interpretasi mereka tentang #KitaSama.
#KitaSama….. begitulah ‘hastag’ bagi tahun ini. Tetapi apa yang dimaksudkan dengan #KitaSama? Apa yang sama?
Kita dilahirkan di negara yang sama dan terdapat pelbagai lapisan kaum, agama dan bahasa. Dari latar belakang berlainan tetapi kita mempunyai sesuatu yang ‘SAMA’.
Bermula dari sistem pendidikan sekolah tadika hingga ke sekolah menengah. Satu pakaian seragam, satu budaya dan satu pendidikan, #KitaSama menerimanya seimbang dan sama rata.
Duduk semeja di kantin sekolah, berkongsi bekal makanan dan berseloka tanpa mengira kaum. Keriangan bersama ketika bersukan juga berkongsi ilmu pengetahuan sewaktu kelas pembelajaran. Penumpuan kearah satu tujuan untuk mencapai cita-cita yang tinggi dan dihormati. Setiap individu mempunyai matlamat tersendiri dan #KitaSama mengejar impian.
Anak rusa merentang hutan,
Lari dikejar anak beruang,
Ilmu umpama emas dan intan,
Berguna kepada semua orang.
Berkunjung ke rumah antara keunikan istimewa negara kita. -Gambar oleh Azman Ashak dari Doughnutz Daniel Grafix Inspirationz Photo Design
#KitaSama... Berkunjung ke rumah rakan taulan, jiran tetangga dan kaum kerabat adalah satu keunikan istimewa di negara kita, membawa juadah tradisi masing-masing untuk dikongsi bersama di satu meja. ‘Pot Luck…..’ Sangat bertuah kerana Malaysia adalah sebuah negara terdiri dari pelbagai kaum dan agama. Masyarakat majmuk yang gemar berkongsi masakan masing-masing tidak kira dimana-mana. Dari jenis masakanlah, mengambarkan latar belakang serta sejarah pelbagai kaum.
Resepi tradisional turun temurun diwarisi hingga ke cucu-cicit, ada yang mencari rezeki atas kreativiti air tangan istimewa. Merantau jauh lagi dikenang, inikan pula adat resam kunjung-berkunjung ke rumah taulan sambil membawa juadah istimewa lagilah berseri suasananya. Asam pedas, kari kepala ikan, nasi ayam Hainan dan kuih tradisonal, memang pantang jika ditolak malah jarang sungguh dilihat kalau dipelawa terus menolak. Maklumlah itukan sudah makanan ruji kita semua. #KitaSama suka sebenarnya.
Bertanya khabar dari hati sanubari tanpa mengira batasan, memberi imbuhan perasaan teruja serta berasa dihargai. Bersalaman tangan sebagai tanda hormat-menghormati, membuka tirai untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat. Susur bual bicara disusun rapi demi menjaga keharmonian dan keselesaan bersama. #KitaSama cintakan kedamaian.
Hormati jemputan tuan rumah yang membuka pintu rumah mereka kepada kita. -Gambar oleh Azman Ashak dari Doughnutz Daniel Grafix Inspirationz Photo Design
#KitaSama...menghormati tuan rumah yang berusah payah menjemput tetamu adalah penting dalam masyarakat Malaysia. Tidak manis jikalau pergi dengan tangan kosong. Buah tangan yang dibawa dalam bekas cantik dengan hati ikhlas untuk dinikmati bersama dalam satu meja adalah tradisi paling dihormati yang memberi pengalaman tersendiri.
Keharmonian adat resam ini sudah berkurun lamanya menjadi tradisi bagi kita semua. Jikalau pada musim perayaan, masing-masing mengenakan pakaian tradisonal yang begitu cantik, sopan, unik serta warna-warni. Duduk sambil berseloka jenaka dan berkongsi pelbagai cerita. Yang tua dihormati, yang muda berkongsi cerita menarik, kanak-kanak riang bergembira dan masing-masing bertegur sapa dalam satu budaya. #KitaSama dalam satu suasana yang meriah.
Kemesraan antara satu sama lain dari pelbagai kaum, kadang-kala membuahkan perasaan istimewa. Disinilah lahirnya sebuah CINTA.
Pelbagai juadah dikongsi diatas meja. -Gambar oleh Azman Ashak dari Doughnutz Daniel Grafix Inspirationz Photo Design
#KitaSama... Pelbagai juadah dari pelbagai resepi, hasil tutun-temurun nenek moyang kita semua, dibawa dan dikongsi bersama diatas meja. Layanan dengan penuh sopan-santun oleh tuan rumah, disulami pula oleh lawak jenaka dari tetamu membuka tirai dengan penuh ceria. Tidak kira apa topik yang dibualkan, malah kita semua faham apa yang dimaksudkan. Membantu dan menghulur hidangan antara satu sama lain, menggambarkan bahawa kita semua bersatu untuk menikmati hidangan #KitaSama suka.
Bicara dari hati ke hati, berkongsi resepi dan pembelajaran bahasa baru juga sejarah adat resam dari pelbagai kaum, memberikan keselesaan ketika dimeja bersama. Tawa riang dan gurauan senda adalah manisan dalam keharmonian pelbagai kaum. Yang penting, faham apa yang dimaksudkan, kita semua sama sahaja boleh ketawa.
Suka-duka dan pahit manis diluahkan bersama, adalah asam garam perjalanan kehidupan kita semua. Umur, bangsa, agama, kaum, negeri dan warna tidak sesama sekali menjadi penghalang untuk beramah mesra. Apatah lagi dijamu dengan juadah tradisi dari dapur yang berlainan dan duduk semeja.
Kemesraan makin lama makin rapat dan semakin akrab. -Gambar oleh Azman Ashak dari Doughnutz Daniel Grafix Inspirationz Photo Design
#KitaSama... Sesudah kekenyangan dan penat lelah bersama memberi seribu makna. Kemesraan makin lama makin rapat dan semakin akrab. Tiada lagi segan silu juga tanda tanya kemusykilan. Segala persoalan terjawab dan teka-teki diselesaikan bersama. Ilmu baru ditimba bersama, kemesraan dan keharmonian memberi manfaat untuk lebih bermuafakat. Tolong-menolong tidak kira kaum dan agama, memberi ihsan ikhlas yang penuh bermakna.
Senyuman terukir dibibir manis, tanda penghargaan sesama kaum. Datang dari berlainan perjalanan menuju satu tempat yang sama untuk bertamu mesra, sambil menikmati suasana ceria yang penuh bermakna. Pengalaman dikongsi bersama dengan penuh selesa dan bermakna.
Saat yang indah akan dikenang selalu dan tidak akan dilupakan. #KitaSama gembira…………..
Sentiasa menjaga hati sesama insan demi perpaduan. -Gambar oleh Azman Ashak dari Doughnutz Daniel Grafix Inspirationz Photo Design
Kita semua dididik menjaga hati sesama insan demi memupuk perpaduan masa depan. Masing-masing mempunyai cita-cita, pekerjaan, keluarga dan matlamat kehidupan tersendiri. Tetapi ada beberapa perkara yang #KitaSama menikmatinya. Kerakyatan, Bendera Malaysia, Lagu Kebangsaan, Passport Perjalanan, Kad Pengenalan, Negara Kelahiran, Perlembagaan Undang-Undang, Pentadbiran Negara dan Mata Wang Ringgit Malaysia yang diguna pakai kita bersama.
Kemana-mana kita semua merantau, #KitaSama membawa nama negara Malaysia. Ketika lagu Negaraku berkumandang #KitaSama menyanyikan dengan penuh bersemangat. Hidup aman damai dan harmoni #KitaSama berdoa demi kesejahteraan untuk semua. Mata wang ringgit Malaysia yang dikeluarkan Bank Negara, #KitaSama guna pakai bersama untuk transaksi harian dalam negara. Bendera Malaysia dikibarkan, #KitaSama kata itulah bendera Malaysia negara kita dilahirkan.
Ucapan terima kasih dan kata pujian antara satu sama lain, memang tidak dinafikan kita semua boleh duduk bersama. Rambut sama hitam dan darah sama merah pekat. Memang #KitaSama
Di sini lahirnya sebuah CINTA.