Pergerakan Puteri UMNO Malaysia hari ini melancarkan aplikasi telefon pintar yang diberi nama ‘Puteri’.

Pelancaran aplikasi itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO di Menara Dato’ Onn, PWTC.

Dengan pelancaran itu, pergerakan puteri menjadi sayap UMNO pertama yang memperkenalkan aplikasi untuk telefon pintar kepada ahli-ahlinya.

Menurut Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Mas Ermieyati Samsudin, pembangunan aplikasi ‘Puteri’ itu adalah satu daripada transformasi pergerakan puteri untuk mendekati wanita muda di seluruh negara yang sebahagian besarnya menggunakan telefon pintar dan peranti lain.

Jelas Ermieyati, pelancaran aplikasi itu adalah tepat pada masanya kerana pada hari ini penggunaan telefon pintar telah menjadi satu kemestian bagi setiap anak muda.

Aplikasi ‘Puteri’ boleh dimuat turun secara percuma menerusi google play dan apps store.