Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dalam kenyataan tengah malam tadi bagaimanapun berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mengambil tindakan segera dengan menukar siaran ke acara lain iaitu bola baling.
RTM selaku Penyiar Rasmi Sukan Olimpik Paris 2024 menyiarkan perlawanan Lee Zii Jia secara langsung di Saluran Okey pada 8.50 malam hingga 9.30 malam, 31 Julai (MyTV, Astro RTMKLIK).
"RTM menyiarkan secara langsung Sukan Olimpik melalui Saluran TV Okey dan Saluran Sukan serta enam saluran khas di RTMKlik bagi memenuhi hasrat rakyat Malaysia yang mahu merasai kehangatan Sukan Olimpik lebih dekat bermula 27 Julai lepas hingga 12 Ogos," katanya.
Petang semalam Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah meminta RTM untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan tiada siaran langsung aksi pemain profesional badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Sukan Olimpik Paris 2024, pada Rabu.
Ia susulan seorang pengguna laman Facebook meluahkan rasa tidak puas hati apabila RTM sebagai badan penyiaran nasional tidak menyiarkan aksi Zii Jia menentang pemain ke-62 dunia dari Sepanyol Pablo Abian, sebaliknya menyiarkan perlawanan antara atlet Israel Misa Zilberman dan atlet Nepal Prince Dahal.
-- BERNAMA