Turkiye isytihar hari berkabung selepas kematian Ismail Haniyeh
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata hari berkabung itu juga sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
Astro Awani
Thu Aug 01 2024
Erdogan juga akan menghadiri upacara pengebumian Ismail di Qatar. - Foto fail/AP
ANKARA: Kerajaan Turkiye mengisytiharkan negara itu berkabung pada Jumaat berikutan kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh oleh rejim Zionis.
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dalam catatan di akaun media sosial miliknya berkata hari berkabung itu juga sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
"Hari berkabung diisytiharkan pada Jumaat sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin," katanya.
Agensi berita Reuters melaporkan Erdogan juga akan menghadiri upacara pengebumian Ismail di Qatar.
Sebelum ini Pakistan juga telah mengisytiharkan hari Jumaat sebagai hari berkabung bagi menghormati pemergian Ismail yang terkorban di Tehran pada Rabu.