KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus mengukuh dipacu oleh pertumbuhan ekonomi dan inisiatif kerajaan untuk menarik pelaburan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Selain itu, katanya, ringgit juga akan dipengaruhi oleh pergerakan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

"Kita percaya unjuran pertumbuhan ekonomi empat hingga lima peratus pada 2024 boleh dicapai dan mungkin boleh meningkat lebih tinggi," katanya kepada pemberita pada persidangan bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun ke-41 (MAJECA)-Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (JAMECA).

Beliau berkata, pembaharuan fiskal kerajaan, usaha membendung inflasi dan pelaburan peringkat tinggi yang diluluskan serta dasar untuk menstabilkan dan membangunkan negara juga akan menyokong ekonomi dan ringgit.

Sementara itu, menerusi ucapannya, Amir Hamzah berkata Malaysia menghargai peranan strategik yang dimainkan Jepun pada peringkat awal pengindustrian di Malaysia dengan pelaburan berskala besar dan aliran masuk teknologi.

"Pada masa ini, terdapat lebih 1,500 syarikat Jepun di Malaysia melabur dalam pelbagai sektor perindustrian dan perniagaan. Ini merupakan satu pengiktirafan bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang terbaik.

"Memandangkan kedua-dua negara kita adalah sebahagian daripada rantau Asia Timur yang luas, kita sentiasa menghargai dan mengalu-alukan pelaburan, teknologi dan perkongsian daripada syarikat Jepun. Dengan Malaysia akan menggalas jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, ini akan membuka lebih banyak kemungkinan bagi penglibatan ekonomi bersama di ASEAN," katanya.

-- BERNAMA