Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton mungkin mencatat masa terpantas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini, namun tumpuan media sosial juga terarah kepada pemandu berusia 17 tahun, Max Verstappen dari pasukan Toro Rosso.

Selepas 54 tahun, Verstappen muncul remaja pertama mencatat kedudukan tertinggi dalam pusingan kelayakan.

Ricardo Rodriguez merupakan pemandu remaja terakhir mencatat kejayaan terbaik apabila menduduki tempat pertama pada pusingan kelayakan GP Itali pada 1961.

Media sosial, terutamanya di Belanda memuji kejayaan Verstappen selepas berjaya bersaing dengan pelumba yang jauh lebih berpengalaman pada usia 17 tahun.

Malah Verstappen berjaya mengulangi kejayaan terbaik ayahnya, Jos yang menduduki tempat keenam pada pusingan kelayakan Grand Prix Belgium pada 1994.

Lebih menakjubkan, perlumbaan di SIC merupakan yang kedua buat Verstappen dalam penampilan musim pertamanya dalam F1 namun sudah menunjukkan kemampuannya untuk mencabar bintang F1 yang lain.

Ironinya, pada usia 17 tahun, Verstappen masih belum layak untuk mengambil lesen memandu di negaranya, walaupun berkemahiran tinggi memandu jentera F1.

Kejayaan Verstappen menarik perhatian dunia untuk menonton F1 dari Sepang esok.


Bagi peminat F1, Verstappen adalah juara dalam pembikinan dan mempunyai bakat yang besar dalam perlumbaan itu.


Verstappen akan bermula dari petak keenam perlumbaan GP Malaysia di Sepang yang dijadual bermula jam 2:30 petang esok.

Hamilton akan bermula di petak hadapan diikuti pelumba Ferrari Sebastian Vettel dan rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg.