BILA sebut sahaja tentang Ramadan, buah kurma semestinya sesuatu makanan yang sinonim dan paling banyak disajikan ketika sahur mahupun berbuka puasa.

Ini kerana pengambilan buah tersebut ketika bulan penuh barakah itu merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah SAW yang mudah untuk dicontohi oleh umat Islam.

Menerusi entri terbaharu di platform X, ulama dan bekas ahli Dewan Negara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi resipi sempena Ramadan iaitu kurma dengan mentega yang difahamkan disukai oleh Rasulullah S.A.W.

‎”Bagi yang belum cuba, boleh buat untuk berbuka puasa.

‎”Dari Abdullah ibn Busr dan Atiyyah ibn Busr, mereka berkata: 'Rasulullah SAW telah masuk ke rumah kami. Lalu kami menyediakan mentega dan tamar. Baginda menyukai mentega dan tamar. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)',” tulisnya di ruangan kapsyen.


Selain itu, Zulkifli turut berpesan agar orang ramai menggunakan mentega bukannya marjerin: “Pastikan pure butter, bukan marjerin.”

Perkongsian itu meraih reaksi positif netizen di mana rata-ratanya berterima kasih atas ilmu yang diberikan.

Antara komen yang diterima:

“Terima kasih info Dr, satu pelajaran tentang hadis untuk hari ini. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW.”

“Subhanallah, ini suatu ilmu yang baru hari ini sampai kepada saya. Terima kasih. Tabarakallah.”

“Alhamdulillah, terima kasih atas perkongsian.”

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada Selasa, 12 Mac 2024. -Gempak