Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, hasratnya itu telah lama dipendam sejak menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.
"Namun, Allah SWT lebih mengetahui hikmah yang berlaku. Apabila saya mula kembali menjawab soalan-soalan agama setelah “berehat” seketika semasa menjawat jawatan Menteri pada 10 Januari 2022, sambutan masyarakat amat luar biasa.
"Dengan hampir 5 juta kunjungan ke web http://maktabahalbakri.com hari ini, sejak tiga tahun lalu saya mula memikirkan pendekatan yang lebih mesra dengan kemajuan zaman.
"Hasil usaha jitu pasukan media Maktabah Al-Bakri, lahirlah aplikasi Al-Inarah yang dibina seadanya, dengan sumber kewangan yang amat terhad," katanya di ciapan laman X, pada Isnin.
Zulkifli berkata, aplikasi Al-Inarah mempunyai sebanyak 7,000 artikel yang dimuat naik dan boleh diakses secara percuma.
"Tiga tahun untuk 7,000 buah artikel sudah pasti bukan kerja mudah, namun ia adalah semangat kerja berpasukan yang menatijahkan kejayaan.
"Saya dengan rendah hati memohon sekiranya para ulama mendapati ada kekurangan pada mana-mana artikel, boleh sampaikan untuk semakan kami.
"Terima kasih juga kepada lebih 400 orang yang memberikan “rating” 4.9 kepada aplikasi Al-Inarah. Ia satu penghormatan bagi kami," ujarnya.
Zulkifli berkata, beliau dan pasukannya mempunyai banyak lagi kejutan dan dengan doa serta sokongan umat Islam di Malaysia, Maktabah Al-Bakri akan berusaha menjadi peneraju utama kepada hab soal jawab agama di Malaysia.
Pada November tahun lalu, Zulkifli memperkenalkan sebuah aplikasi mudah-alih tersendiri, dinamakan sebagai Al-Inarah.
Al-Inarah menghimpunkan soal-jawab kemusykilan agama Islam melaluinya yang dikendalikan oleh beliau dan menghimpunkan lebih artikel kemusykilan dibawah 75 kategori berbeza.
Disamping itu, pelbagai artikel baharu juga akan dikemaskini dari masa ke semasa.