SHAH ALAM: Nilai bidaan tertinggi jam tangan berjenama Rolex milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencecah RM135,000 ketika ditutup pada jam 12 tengah malam Selasa.

Zulkifli berkongsi tentang nilai bidaan itu di ruangan komen pada satu hantaran di Facebook (FB) beliau.

"Bidaan jam Rolex untuk Palestin telah tamat.

"Terima kasih kepada pembida yang telah membida.

"Jumlah bidaan yang tertinggi adalah RM135,000," katanya.

Menerusi hantaran itu, Zulkifli memberitahu akan mengumumkan nama pemenang bidaan tersebut pada Rabu.


Media  sebelum ini melaporkan Zulkifli melelong dan membuka bidaan jam tangan kesayangannya itu di platform FB selama dua hari bermula Isnin untuk didermakan sepenuhnya kepada rakyat Palestin.

Beliau berkata, harga permulaan bidaan jam tangan mewah pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud adalah sebanyak RM40,000.

Menurut Zulkifli, jam itu dihadiahkan sebagai cenderamata buatnya ketika menyandang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Kotak jam itu hanya dibuka beliau selepas meletak jawatan sebagai menteri pada 2021. - Sinar Harian