Tajuk: Apa Cerita?
Penulis: Mie (Ahmad Hilmy Abdullah)
Penerbit: Berita Publishing Sdn. Bhd.
Tahun: 2013


Apa Cerita? bukan sebarang buku biasa. Ia adalah sebuah buku kompilasi kartun dengan penerangan dalam dwi bahasa, iaitu Melayu dan Inggeris. Ini menjadikannya sebuah bahan bacaan yang mempunyai capaian yang meluas kerana bukan sahaja pembaca lokal yang fasih berbahasa Melayu yang dapat memahami dan membaca buku ini tetapi mereka yang dari luar negara juga dapat menikmati karya Ahmad Hilmy atau nama pena kartun beliau Mie.

Apa cerita

Mie yang saya kenali lebih 5 tahun lalu ketika kami sama-sama mengerjakan haji dan tinggal di hotel dan khemah yang sama adalah seorang insan kreatif yang pada hemat saya "otaknya sentiasa ligat berfikir." Pada ketika beliau berjenaka pun, kita akan dapat merasa bahawa jenaka beliau itu sudah difikirkan dalam-dalam.

Sudah tentulah dalam beliau bekarya ini pun kita dapat melihat bagaimana beliau mengolah pemikiran beliau melalui kartun-kartun serta penulisan yang dihasilkannya dan ada ketikanya kita dapat membaca kritikan sosial yang cukup mendalam yang dilemparkan untuk difikirkan oleh pembacanya.

Apa cerita

Elemen intelek dalam karya beliau ini sebenarnya yang membuat saya sendiri terpanggil untuk menulis ulasan mengenai buku kartun ini. Saya merasakan apa yang telah Mie hasilkan sebagai sumbangan beliau kepada masyarakat (walaupun dalam bentuk kartun secara santai) namun perlu diberi perhatian yang mendalam.

Sebahagian besar bahan dalam buku ini adalah hasil lukisan beliau yang dihasilkan pada bulan Ramadan yang lalu yang ada antaranya berkisar sekitar kampung halaman dan bagaimana keadaannya apabila seluruh ahli keluarga pulang beraya di kampung.

Dalam konteks Malaysia, beraya di kampung bukan hanya khas untuk orang Melayu sahaja tetapi menjadi amalan semua kaum dan semua perayaan. Oleh kerana itu, gambaran yang diketengahkan oleh Mie dalam buku ini sebenarnya adalah cerita tentang masyarakat Malaysia.

Dalam meneliti karya Mie ini, saya dapati ada ketikanya, penerangan yang disediakan dalam dwi-bahasa itu sudah tidak perlu lagi kerana bahasa kartun beliau itu sebenarnya telah melangkaui batas sempadan masa dan bahasa. Seperti muzik, lukisan dan kartun sebenarnya adalah bahasa dunia yang tersendiri.

Ketika saya bertugas di Jerman satu ketika dahulu, ramai yang bertanyakan saya tentang kartun Lat. Lat mungkin antara kartunis kita yang awal melangkaui batas sempadan dan bahasa. Dalam buku ini, Lat ada menulis kata pengenalannya.

Seperti Lat, dalam buku Apa Cerita?, Mie turut berkongsi tentang pemerhatian sosial beliau. Dalam menggambarkan realiti hari ini ketika mana keluarga yang keluar makan malam bersama tetapi masing-masing lebih selesa melayan smart phone masing-masing tidak kira sama ada untuk mengemaskini Facebook, Twitter atau yang bermain Candy Crush, Mie melakarkan sebuah karya kartun yang layak dijadikan bahan perbincangan untuk para pelajar sains maklumat, sosiologi dan komunikasi di universiti untuk memikirkan fenomena ini dan sekaligus mengupas isu tersebut dalam konteks kebaikan dan keburukan teknologi dalam komunikasi.

Sebagai seorang arkitek, Mie memberi perincian kepada kartun-kartun beliau, sehinggakan kita merasakan bahawa kita berada dalam dunia kartun yang beliau gambarkan itu. Kartun-kartun beliau yang menggambarkan gelagat di Kopi Tiam umpamanya, membuatkan saya mahu menggunakan kanta pembesar untuk meneliti perincian yang Mie berikan kepada objek-objek dalam kartun-kartun tersebut yang setiapnya memberi cerita tersendiri.

Dalam satu lagi karya beliau dalam buku ini, Mie menggambarkan bagaimana seorang atuk sanggup berkorban kepanasan kerana plug untuk kipas angin dirumah kampung sudah dipenuhi dengan charger battery telefon-telefon anak cucu yang pulang beraya. Ini adalah cerita beliau yang kalaupun lumrah berlaku, namun tidak difikirkan sebagai satu perkara yang memerlukan kita untuk berfikir agar kita menjadi masyarakat dan anak cucu yang lebih prihatin ketika pulang beraya di kampung.

Pada bahagian pengenalan buku ini, Mie menceritakan salah silah beliau dan bagaimana beliau terlibat dengan bidang kartun dan susah payah beliau pada masa yang sama untuk mencapai impian menjadi seorang arkitek. Tidak salah kalau saya membuat persamaan buku ini dengan buku seorang lagi sahabat saya arwah Dato’ Ruslan Khalid yang menceritakan pengalaman hidup beliau serta pandangan beliau tentang Malaysia melalui bukunya Quest for Architectural Excellence: A Malaysian Experience. Kedua-dua buku ini sepatutnya menjadi bacaan wajib pelajar jurusan arkitek atau pada mereka yang bercita-cita untuk menjadi arkitek.

Kembali kepada Apa Cerita?, ia perlu dimiliki dan dibaca oleh semua. Ianya juga sesuai untuk dijadikan hadiah kepada teman-teman kita diluar negara untuk mereka memahami cerita kita. Apa Cerita? bukan satu persoalan biasa. Ia adalah satu persoalan penting yang dihidangkan secara ringan namun memerlukan kita untuk berfikir bagi mengupas persoalan yang dibentangkan oleh Mie.

Semoga Mie akan terus berkarya dan menghasilkan kritik sosial yang membina demi masa depan dan keperluan pembinaan jati-diri dan negara bangsa melalui identiti Malaysia yang tulen.

_______________________________________________

Anis Yusal Yusoff ialah Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA) di UKM.