Bagi sebahagian penduduk di Bandaraya Kuala Terengganu ini, bunyi ketukan genta atau loceng besar masih menjadi 'penggera' untuk berbuka puasa, sahur dan imsak.
Bunyi nyaring pukulan genta besi atau loceng besar yang berusia ratusan itu boleh didengari pada jarak kira-kira dua kilometer dan akan bergema 30 minit sebelum magrib serta awal pagi.
Sepanjang Ramadan, Muhammad Muizzuddin Mansur, 25, bersama saudaranya, Muhammad Hamidi Aminuddin, 30, akan mendaki Bukit Puteri yang terletak berhampiran Istana Maziah bagi menggoncangkan genta yang diperbuat daripada tembaga.
Jelasnya, dia mengambil alih kemahiran memukul genta itu daripada bapanya yang juga merupakan generasi ketiga meneruskan tradisi keluarganya sejak puluhan tahun lalu.
"Saya mula belajar memukul genta ini pada usia 16 tahun sebelum mengambil alih tugasan ini sepenuhnya daripada bapanya sejak lima tahun lalu.
"Genta ini akan dibunyikan sebanyak tujuh kali iaitu 30 minit sebelum waktu berbuka puasa manakala sekitar jam 1 pagi sebanyak 36 kali akan bunyikan sebagai persiapan sahur dan empat kali pada sebelum waktu Imsak," katanya ketika ditemui di Puncak Bukit Puteri, di sini.
Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia berbangga dapat meneruskan tradisi turun temurun ahli keluarganya.
Sementara itu, Pembantu Muzium Negeri Terengganu, Saifol Nahrain Hashim berkata, bagi generasi muda mungkin ramai yang tidak mengetahui tradisi mengetuk genta itu masih diteruskan di Terengganu.
Katanya, keunikan itu perlu diterus dikekalkan agar tradisi dan sejarah berkenaan tidak lenyap ditelan arus perubahan zaman.
"Tradisi yang cukup sinonim dengan masyarakat sejak dahulu lagi mestilah diteruskan supaya masyakat khususnya golongan muda ini tahu dan menyedari fungsi genta yang terletak di puncak bukit ini," katanya.
Selain genta, tradisi meletupkan bedil pada waktu berbuka puasa dan imsak juga masih diteruskan di negeri Terengganu.
Letuapan bedil menjadi panduan khususnya sebahagian besar penduduk di bandar raya itu sebagai petanda waktu berbuka puasa dan bersahur.
Sebelum ini genta yang berukuran lilitan kira-kira 228 sentimeter dengan ketinggian 78 sentimeter diperbuat daripada tembaga kuning seberat 175 kilogram itu pada awalnya dibunyikan sebagai isyarat kepada penduduk kampung.
Genta akan dibunyikan oleh 'budak raja' selepas menerima pelbagai ancaman yang melanda negeri termasuk orang mengamuk, kebakaran atau terdapat musuh melanggar negeri ini.