Nak tahu caranya? Ustazah ini kongsi panduan ini.
Mungkin tip ini dapat membantu. Saya kumpulkan di sini cara ibu bapa hebat bantu anak mereka agar tidak terikat dengan gajet.
1. Anak-anak kena faham tujuan gajet itu diberikan kepada mereka
Gajet adalah untuk PdPR, bukan untuk hiburan. Jika penggunaannya sudah tersasar jauh, anak-anak perlu disedarkan tentang perkara itu.
Anak-anak leka dengan gajet sehingga abaikan PdPR, tidur lewat malam kerana bermain 'game', mengingatkan saya kepada kata-kata seorang ilmuan, manusia akan rosak jika terlalu ta’asub dengan hiburan, melayari Internet tanpa batasan.
Gajet ini seperti pisau yang menghiris dan melukai anak-anak kita.
2. Selesai PdPR, bina aktiviti bermanfaat untuk anak-anak. Pisahkan mereka daripada gajet dan perbanyakkan komunikasi, cari tajuk penting untuk dibualkan dan wujudkan kemesraan.
Tiada apa yang mampu menarik anak-anak untuk bercakap dengan ibu bapa melainkan mereka mendengar ungkapan yang indah, menyenangkan dan baik dari kita.
Kurangkan menghukum, mengarah atau terlalu tegas. Jadi seperti kawan bagi anak-anak remaja, bercakap dari hati ke hati.
3. Berjamaah setiap kali waktu solat. Apabila solat sendiri-sendiri, adakah kita yakin anak-anak akan laksanakan.
Dalam masa 5 hingga 10 minit biar anak-anak depan mata kita solat berjemaah dan latih mereka untuk menyebut kalimah-kalimah toyyibah, zikir pada Allah dan baca surah-surah lazim.
4. Waktu petang ajak anak-anak keluar untuk bersenam, berjoging, main bola dan sebagainya. Sesekali bawa mereka menikmati keindahan alam di tepi pantai, jeram ataupun sungai.
Kehidupan anak-anak hari ini sangat berbeza dengan zaman kita dulu, mereka tidak lagi merasai nikmat zaman kanak-kanak yang sangat indah dan menyeronokkan.
5. Selepas selesai solat maghrib berjamaah jadikan membaca Al-Quran sebagai rutin satu keluarga sementara menunggu Isyak. Galakkan anak-anak membaca dan menghafaz ketika ini.
6. Tidur awal, bermula jam 10 hingga 10.30 malam. Anak-anak yang ketagihan gajet akan berjaga hingga pagi untuk bermain 'game'.
Ibu dan ayah yang saya kasihi, anak-anak kita bakal pemimpin masa hadapan, jika zaman remaja mereka dicorakkan dengan habit yang bertentangan dengan fitrah, kemungkinan besar ia memberi kesan negatif kepada anak-anak ini bila mereka dewasa nanti.
Jarakkan anak-anak dari gajet, penuhi hidupnya dengan penuh bermakna.
Sumber: Aminah Mat Yusoff
* Artikel asal disiarkan di Keluarga.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!