KUALA LUMPUR: Perang melawan pandemik COVID-19 banyak mengubah kehidupan masyarakat di negara ini, ada yang menjadi penganggur, tidak terkecuali peniaga dan usahawan, dengan ada yang terpaksa 'gulung tikar'.
Antara yang terkesan ialah industri fesyen dan kebanyakan terpaksa menutup butik serta premis kerana beban kewangan kos sewa dan stok tinggi meskipun tidak beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, masih ada yang tidak mudah berputus asa, sebaliknya penerokaan platform ekonomi digital atau e-dagang menjadi batu loncatan untuk membolehkan industri itu dapat bertahan serta berkembang di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Selain itu, keberkesanan media sosial termasuk Facebook, Instagram dan Tiktok menyaksikan ramai usahawan baharu mengiklan, mempromosi serta memasarkan produk di alam maya.
Antara yang menyedari betapa pentingnya platform ekonomi digital ketika pandemik ialah usahawan fesyen muslimah, Faridah Hanom Samsudin yang memanfaatkan platform maya untuk mengembangkan penawaran produk berasaskan muslimah.
Beliau yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Zara Awliyah Sdn Bhd itu mengakui bahawa kuasa media sosial itu sedikit sebanyak membantu menstabilkan perniagaannya ketika krisis pandemik yang masih berlarutan ini memandangkan masyarakat banyak menghabiskan masa dalam media sosial setiap hari.
"Saya tidak dapat menafikan cara konvensional lebih bagus sebelum pandemik kerana kebanyakan pelanggan lebih suka mencuba sendiri pakaian di premis atau butik sebelum membelinya.
"Namun bagi menyesuaikan dengan norma baharu ini, ekonomi digital lebih mudah untuk diakses kerana pelanggan tidak perlu lagi keluar dari rumah namun dapat membeli-belah menerusi internet," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Menurut Faridah Hanom, menerusi e-dagang dan media sosial, peniaga bagaikan mendapat semangat untuk tampil penuh berkeyakinan, selain dapat menjangkau pelanggan di mana-mana sahaja mereka berada dengan menggunakan gajet mereka.
"Selain itu, ekonomi digital dilihat berpotensi mengembangkan kreativiti serta inovasi usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain membuka peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat dalam situasi genting ini," katanya.
PELAN SANDARAN KETIKA KRISIS
Faridah Hanom yang berkecimpung dalam dunia fesyen muslimah sejak lapan tahun lalu berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya turut berhadapan dengan situasi panik dan buntu apabila kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan penuh pada Mac 2020 untuk mengawal penularan wabak COVID-19.
Menurut beliau, pihaknya terpaksa menutup premis perniagaan selama tiga bulan termasuk ketika bulan Ramadan.
Pada kebiasaannya sebelum pandemik, pihak beliau banyak mendapat tempahan telekung sebulan sebelum Ramadan sehinggalah kepada hampir Hari Raya Haji.
"Jualan kami memang menurun sebanyak 20 peratus ketika bulan pertama PKP kerana pada masa itu kami panik dan masih lagi dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu, terutamanya dari segi mengagihkan semula tenaga kerja, pemindahan stok untuk pembungkusan serta tempoh penghantaran terjejas.
"Mujur saya pernah mempelajari selok-belok perniagaan daripada mereka yang arif sebelum ini dan saya mengamalkan ilmu itu untuk kekal fokus kepada apa yang perlu dilakukan, termasuk menukarkan kepada perniagaan dalam talian100 peratus berbanding 80 peratus sebelum PKP," katanya.
Beliau menambah, pihaknya menggerakkan kira-kira 1,800 agen di seluruh negara, termasuk Brunei, Singapura dan Filipina, untuk meningkatkan kadar jualan menerusi media sosial dan menjalin hubungan baik dengan pelanggan ketika PKP.
"Jika sebelum ini 'Facebook live' sekali sehari dan keluar berjumpa dengan pelanggan namun ketika PKP, kami meningkatkan bilangan 'Facebook live' itu sebanyak lima hingga enam kali.
"Oleh kerana kebanyakan promosi telekung kami sebelum ini lebih kepada persediaan untuk jemaah umrah dan haji, namun sejak PKP promosi itu tidak dapat dilaksanakan maka kami gantikan dengan promosi berkonsepkan hadiah kepada yang tersayang.
"Kami turut menawarkan pembungkusan yang cantik untuk menarik perhatian pelanggan menerusi 'Facebook Live' dan membuat peraduan serta kempen eksklusif untuk meningkatkan jualan kami ketika PKP," katanya yang menambah hasil jualan meningkat sebanyak 20 peratus pada bulan Januari hingga Jun lalu.
Faridah Hanom berkata komunikasi sesama agen, dropship dan kakitangan pengurusan menerusi media sosial sangat penting kerana meskipun tidak dapat bersemuka untuk merancang hala tuju, namun pengurusan stok dan perkhidmatan pelanggan ketika PKP dapat dilakukan.
"Dalam perniagaan fesyen secara dalam talian, kerjasama dengan semua pihak amat penting dan saling bantu-membantu dapat menjalinkan hubungan sesama industri kerana jika dalam keadaan kesusahan, senang untuk meminta dan menghulurkan bantuan antara satu sama lain.
"Selain itu, saya sentiasa memastikan ada pelan sandaran jika berlaku sesuatu krisis. Contoh, jika ada pembekal tidak dapat menghantar kain dari Indonesia dan Korea dalam masa yang ditetapkan, kami akan berusaha untuk membeli kain dahulu daripada kedai tempatan lain untuk menjahit telekung kami," katanya.
Faridah Hanom berkata walaupun kebanyakan usaha terpaksa menghadapi pelbagai dugaan ketika PKP, namun ia tidak harus dijadikan sebagai halangan sebaliknya harus dilihat sebagai 'hikmah' dan ujian dalam perjalanan hidup.
"Setiap perniagaan mesti ada pasang dan surutnya, jika terpaksa ditutup akibat PKP, tidak mengapa, bangkit semula dan mulakan kembali dengan modal kecil menerusi platform 'e-commerce'.
"Belajar melalui pengalaman dan tidak berputus asa, jika mereka baru mahu berjinak-jinak dalam keusahawanan, jadilah dropship dulu kumpul pengalaman barulah mengembangkan perniagaan mereka secara berperingkat," katanya.
KEKALKAN TENAGA KERJA KETIKA PKP
Pengarah Eksekutif Perancangan Strategik Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (SK), Mohammad Muhaimin Aminuddin berkata, pihaknya turut terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melonjakkan ekonomi digital namun masih kekal positif dalam perniagaan mereka.
Beliau berkata, walaupun ketika PKP banyak sektor ekonomi terjejas, namun pihaknya mampu menjana keuntungan sehingga 20 peratus lebih tinggi daripada sebelum PKP pada tahun lepas.
"Sepanjang tempoh PKP, sebanyak 37 cawangan butik SK terpaksa ditutup di seluruh negara, namun kami berusaha menggerakkan kesemua kakitangan cawangan untuk dijadikan dropship sepanjang PKP untuk melariskan jualan.
"Bersyukurlah kami dapat melalui kesukaran ini dan meneruskan operasi dengan menukar kedai kami kepada e-dagang sepenuhnya. Kami memperhebatkan usaha untuk berhubung dengan pelanggan kami dan menyediakan penghantaran pesanan pada hari yang sama, dan sambutannya amat menggalakkan, " katanya sambil menambah, produk utama SK adalah telekung sementara produk sampingan terdiri daripada kategori pakaian, sejadah, aksesori dan tudung.
Menurut Mohammad Muhaimin, selain menggerakkan staf sebagai dropship, pihaknya juga turut mengadakan kursus penggunaan media sosial dan platform e-dagang kepada lebih 300 orang dropship sedia ada di setiap negeri bagi menggerakkan penjualan produk, terutamanya ketika musim perayaan.
"Kemahiran seperti Facebook Marketing, Headquarters branding marketing campaign, Whatsapps business dan sebagainya, kita hantar yang pakar untuk mengajar kemahiran asas dan kemahiran copywriting untuk menarik perhatian pelanggan.
"Kami mengadakannya secara berterusan sehinggalah pada PKP 3.0 baru-baru ini, kebanyakan kakitangan butik cawangan bergerak sebagai pasukan dalam talian untuk mencapai sasaran jualan mereka.
"SK bersyukur kerana kemudahan moratorium pinjaman dan pelbagai bantuan kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu kebanyakan usahawan PKS untuk terus bertahan ketika pandemik, " katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, walaupun kerajaan memberi bantuan dan kemudahan pinjaman kredit kepada golongan terjejas, namun sebagai usahawan PKS, mereka tidak seharusnya bergantung 100 peratus kepada kerajaan.
Usahawan PKS, kata beliau, perlu mempunyai pelan jangka panjang dan pelan sandaran bagi mengatasi sebarang kemungkinan krisis pada masa hadapan.
"Sentiasa berusaha untuk belajar perkara baharu kerana sudah pasti bukan semua krisis yang kita hadapi adalah sama, contohnya seperti pandemik COVID-19, ia merupakan perkara baharu dan semua orang tidak sangka akan penutupan secara besar-besaran akibat PKP.
"Sentiasa berani melakukan perubahan dengan kreatif dan berinovasi kerana semua orang sedang bersaing antara satu sama lain untuk meneruskan perniagaan mereka ketika pandemik, jika kedai fizikal tutup, lakukan secara digital," katanya.
BIJAK MENGURUSKAN KEWANGAN
Pensyarah Kanan (Perakaunan dan Kewangan), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Noorul Azwin Md Nasir berkata usahawan harus bijak mengambil peluang mengatasi cabaran tanggungan kewangan lebih baik akibat PKP.
Menurut beliau, usahawan yang terkesan akibat pandemik boleh meneliti pelbagai bantuan kerajaan seperti Sistem Insurans Pekerjaan, Program Pengekalan Pekerjaan dan Subsidi Upah bagi mengelakkan pemberhentian pekerja mereka secara besar-besaran seterusnya menyebabkan hilang punca pendapatan.
"Banyak perniagaan menambah stok pada awal tahun sebagai persediaan menghadapi musim perayaan dan ia akan memperlihatkan peningkatan jumlah hutang pembekal yang rata-rata memberi tempoh hutang sekitar satu hingga tiga bulan.
"Mungkin lebih menguntungkan usahawan berhutang dengan pembekal berbanding dengan bank atau agensi kewangan dalam mendapatkan modal pembelian stok. Ini kerana dari perspektif kadar faedah, tiada faedah dikenakan ke atas kelewatan bayaran. Pembekal juga cenderung memberikan diskaun sekiranya bayaran dilangsaikan lebih awal," katanya.
Beliau menambah, meskipun sesetengah usahawan mendapat kelulusan bantuan serta penangguhan bayaran moratorium, mereka masih perlu mencari jalan menampung kekurangan pendapatan ataupun kerugian dengan kadar segera.
"Sebahagiannya mula berkecimpung dalam bidang atau industri dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat). Ia bukanlah untuk tempoh panjang, tetapi untuk pulih lebih cepat berbanding pesaing," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Aug 03 2021

Menerusi e-dagang dan media sosial, peniaga bagaikan mendapat semangat untuk tampil penuh berkeyakinan, selain dapat menjangkau pelanggan di mana-mana sahaja mereka berada dengan menggunakan gajet mereka. - Gambar hiasan/BERNAMA
AWANI Pagi: Pembudayaan "Zero Hunger" di kampus universiti
Diskusi 8:30 pagi Jumaat bersama Hasanul Basri Abdullah, Dekan, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Hanifah Eydel-Romero Pensyarah, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)dan Nuranita Dewi Abdullah, Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membincangkan mengenai projek "Zero Hunger" yang semakin diterima dan menjadi budaya di dalam kehidupan kampus warga Center of Foundation Studies, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM.
![[KOLUMNIS] Ahli politik harus bebas dari rasuah [KOLUMNIS] Ahli politik harus bebas dari rasuah](https://resizer-awani.eco.astro.com.my/tr:w-177,h-100,q-100,f-auto/https://img.astroawani.com/2019-02/71550535175_slippingcashbribe.jpg)
[KOLUMNIS] Ahli politik harus bebas dari rasuah
Perbelanjaan politik sama ada secara terangan atau berselindung adalah sesuatu yang tidak dinafikan di dalam perjalanan politik terutama di dalam pilihan raya.
Prestasi S&P 500: Sehingga 13 Mac 2025
MarketWatch menyediakan tinjauan menyeluruh mengenai Indeks S&P 500, merangkumi berita terkini pasaran saham, data dagangan, dan analisis pergerakan pasaran. Saham dalam Indeks Standard & Poor’s 500 dikategorikan mengikut sektor dan industri, memudahkan pemahaman corak prestasi pasaran. Saiz setiap saham mencerminkan permodalan pasaran, menunjukkan kekuatan dan kedudukan syarikat-syarikat utama dalam pasaran.
"Pasaran Saham AS Menjunam: S&P 500 dalam Pembetulan Selepas Data Inflasi"
"Pasaran saham AS berakhir dengan penurunan mendadak pada hari Khamis, dengan S&P 500 mengesahkan ia berada dalam pembetulan selepas data inflasi yang sejuk dibayangi oleh kebimbangan bahawa perang tarif yang semakin memuncak oleh Amerika Syarikat terhadap rakan dagang terbesarnya boleh mencetuskan semula inflasi dan membawa ekonomi ke dalam kemelesetan. Saksikan analisis penuh tentang kejatuhan ini dan impaknya terhadap ekonomi global."
[Data & Statistik] Prestasi Bursa Malaysia setakat 14 Mac 2025
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama kebanyakannya lebih rendah apabila pelabur berhadapan situasi yang tidak menentu berpunca daripada ekonomi yang berpotensi untuk menguncup. Jadi bagaimana prestasi dagangan FBM KLCI setakat pagi Khamis? Ikuti perkembangan lanjut di Niaga AWANI.

Polis pengiring cedera kemalangan ketika bertugas
Ketika kejadian, Sarjan Mohd Tarmizi Manap yang menunggang motosikal berkuasa tinggi dalam perjalanan dari Durian Tunggal menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka Batu Berendam.
[Data & Statistik] Prestasi ringgit setakat 14 Mac 2025
Bagaimana prestasi pembukaan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini? Ikuti perkongsian lanjut di Niaga AWANI.

Ismail Sabri tiba di ibu pejabat SPRM untuk beri keterangan hari kedua
Semalam, SPRM ambil masa lima jam rekod keterangan Ahli Parlimen Bera itu berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.

Touch n Go eWallet perkenal Parkir LPR, bayar parkir automatik melalui pengecaman nombor plat
Ia memudahkan pengguna untuk memasuki kawasan parkir kenderaan dan keluar dengan mudah, tanpa perlu menyentuh kad pada terminal.
[TERKINI] Ismail Sabri sambung beri keterangan kepada SPRM hari ini
Kita ikuti dahulu perkembangan dari Putrajaya bersama rakan setugas, Faida Rahim di mana bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini akan menyambung sesi memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebahagian daripada proses siasatan yang sedang berlangsung.

Kerajaan komited tingkat kualiti kurikulum prasekolah 2026
Kerajaan komited dalam memastikan kurikulum prasekolah yang dihasilkan berkualiti, relevan dan setanding dengan kurikulum negara lain.

AI adalah alat, bukan ancaman terhadap peranan media - Teo
Industri media di Malaysia perlu melihat Kecerdasan Buatan (AI) bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai alat untuk melengkapi peranannya sebagai sumber utama maklumat kepada masyarakat.

JPJ perkenal JPJeBid Mobile secara rintis mulai esok
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan saluran tambahan bagi bidaan nombor pendaftaran kenderaan iaitu JPJeBid Mobile secara ujian rintis mulai esok.

Lapan individu didenda RM6,000 setiap seorang, tawar kerja tidak wujud
Lapan individu masing-masing didenda RM6,000 atas pertuduhan melakukan penipuan dalam menawarkan pekerjaan tidak wujud secara dalam talian, minggu lepas.

Selangor pantau 244 bazar Ramadan, elak peniaga haram
Kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berniaga secara haram di 244 bazar Ramadan di Selangor.

Pemilihan parti: PKR akan guna undi elektronik dengan elemen AI - Fuziah
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan sistem pengundian elektronik dengan elemen kecerdasan buatan (AI).

Polis tahan keldai akaun, mangsa rugi RM39,000
Polis menahan seorang lelaki disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan berkaitan pinjaman tidak wujud secara dalam talian, melibatkan kerugian hingga RM39,000 kepada mangsa baru-baru ini.

Agong perkenan pindaan akta atasi isu keselamatan dalam talian
Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, selepas diwartakan, kerajaan akan berupaya menangani beberapa masalah dalam talian.

Perak sasar RM991 juta kutipan hasil tanah tahun ini
Kerajaan negeri menerusi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menyasarkan kutipan hasil tanah berjumlah RM991 juta pada tahun ini, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Lebih RM13 juta hasil kutipan fidyah 2023 diagih kepada 50,054 penerima - MAIS
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengagihkan lebih RM13 juta hasil kutipan fidyah pada 2023 kepada 50,054 penerima yang layak sepanjang tahun lepas.