BERJALAN 10,000 langkah sehari adalah tip yang diberikan pakar untuk memastikan kesihatan berada di tahap yang baik.

Tetapi dalam keadaan pandemik yang mengurangkan pergerakan dan memaksa kita semua berada di rumah, bagaimana mahu mendapatkan langkah sebanyak itu dalam sehari?

Seorang pegawai perubatan di WatchPilot, Tim Harrison, menerusi portal Metro UK berkongsi cara untuk sekurang-kurangnya mendapatkan sedikit senaman walaupun terkurung di rumah.

Tangga

Rata-rata kita mempunyai tangga di rumah, sama ada yang duduk di rumah teres atau rumah bertingkat seperti kondominium.

Jika tangga di rumah anda mempunyai 12 anak tangga, anda memerlukan tidak sampai 15 minit untuk mendapatkan 1,000 langkah, bergantung kepada kelajuan. Jika mahu bakar lebih kalori, anda boleh cuba berlari. Tetapi hati-hati ya, takut tersadung pula nanti.

Ruang tamu

Bagi yang mempunyai ruang tamu yang agak besar, anda boleh berjalan di sekeliling ruang tamu sambil menonton televisyen, atau tonton rancangan kegemaran menerusi aplikasi dalam talian. Lakukan ini sebelum memulakan kerja, anda akan ada tenaga yang lebih untuk meneruskan tugas harian.

Sebelum makan

Berada di rumah, memang asyik fikir nak makan. Gunakan ini sebagai satu kelebihan. Setiap kali rasa nak makan, berjalan di sekeliling rumah selama 15 minit, anda sekurang-kurangnya boleh menghabiskan 500 langkah dalam satu sesi.

Antara waktu kerja

Kalau duduk sahaja di kerusi, tentu membosankan. Apa kata ambil masa tiga minit dalam setiap waktu kerja, anda boleh lakukan kira-kira 250 langkah untuk setiap sesi. Selain bagus untuk jantung, ini juga membantu anda merehatkan mata.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!