KUALA LUMPUR: "Tayar golek 28 Februari 2019, tayar henti golek 31 Julai 2020".
Itulah ungkapan pengembara Malaysia, Zainal Baharudin, 59, sebelum memulakan pengembaraan mengelilingi dunia (RTW) bersama isterinya merentasi benua Asia, Eropah dan Afrika menaiki pacuan empat roda dinamakan Teh Tarik 1, lebih dua tahun lalu.
Namun, pandemik COVID-19 yang melanda dunia jelas melambatkan perjalanan Zainal dan pasangannya, Celeste F Theunissen, 58, yang menggunakan laluan darat akibat sekatan perjalanan di banyak negara.
Daripada rancangan asal yang memakan masa 17 bulan, kini mereka sudah hampir dua tahun tiga bulan berada di atas jalan.
Begitupun, lali dengan dugaan kembara, pasangan itu tidak mudah mengalah sebaliknya meneruskan perjalanan dengan semangat positif sambil cuba melindungi diri daripada jangkitan COVID-19.
Sehingga kini, sudah 40 negara dijelajahi pasangan ini termasuk Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Azerbaijan, Georgia, Armenia, Rusia, Republik Crimea, Estonia, Latvia, Lithuania, Poland, Republik Czech, Jerman, Belanda, Belgium, Perancis, Luxembourg, Austria, Switzerland, Itali, Greece, Albania, Macedonia Utara, Turki dan Bulgaria.
Sejak 17 November 2019, mereka memasuki benua Afrika, dan antara negara yang sudah dijejaki adalah Sudan, Ethiopia, Kenya, Uganda, Rwanda, Tanzania, Malawi, Zambia, Namibia, Afrika Selatan, Botswana dan Eswatini (sebelum 2018 dikenali sebagai Swaziland).
Lebih dua tahun di atas Nissan Navara yang dilengkapi khemah di atas bumbungnya, Zainal berkata, kembara itu tidak susah namun tidak juga mudah, lebih-lebih lagi ketika proses merentas sempadan negara.
"Berbagai ragam dan kerenah manusia ditemui, ada yang bekerja dengan terlalu perlahan, ada yang kurang faham prosedur sendiri dan ada yang inginkan 'bayaran' untuk sesuatu urusan yang jelas tidak memerlukan kos.
"Kadang-kadang, ada yang prosedurnya mudah, tetapi sengaja disusahkan. Dalam banyak keadaan, saya cuba bersabar dan berfikiran positif. Apapun, itu adalah sebahagian cabaran mengembara," katanya kepada Astro AWANI.
Katanya, antara dugaan terbesar dihadapi adalah untuk membawa kenderaannya ke benua Afrika dari Eropah pada November 2019 disebabkan pelbagai masalah birokrasi dan dasar negara-negara yang dilalui.
Zainal berkata, rancangan awal adalah beliau dan isteri menaiki feri bersama kenderaan dari Itali ke Tunisia sebelum menyambung perjalanan darat ke Libya, Mesir, Sudan hingga ke Afrika Selatan.
Malangnya rancangan itu terbantut disebabkan sempadan Tunisia dan Libya ditutup ekoran pergolakan dan peperangan.
"Akhirnya kenderaan itu terpaksa dihantar menaiki kapal kontena ke Sudan dari Istanbul, Turki, sementara saya dan isteri mengambil penerbangan," katanya.
Zainal juga terpaksa berpisah selama sebulan setengah dengan isteri apabila pasangannya itu yang juga warga Afrika Selatan tidak memperoleh visa untuk ke Sudan.
"Saya terpaksa ke Sudan bersendirian terlebih dahulu sementara isteri ke Addis Ababa di Ethiopia menunggu saya di sana. Namun urusan penghantaran kenderaan dan proses mengeluarkannya dari pelabuhan memakan masa agak lama, iaitu keseluruhan selama 40 hari.
"Isteri saya juga mengalami kesukaran semasa di Addis Ababa apabila diragut menyebabkan dia kehilangan telefon bimbit dan sejumlah wang.
"Selepas kenderaan keluar dari pelabuhan, saya terus memandu ke Ethiopia dan kami bertemu semula di sana," katanya.
Menceritakan cabaran berkaitan COVID-19, Zainal berkata, pada Mei tahun lalu, mereka terpaksa menyewa rumah di sebuah kampung di Kigamboni, Tanzania selama dua bulan disebabkan sempadan negara berjiran dengan Tanzania ditutup akibat peningkatan kes COVID-19.
Sementara itu, mengenai mengapa Afrika menjadi pilihan kembara, Zainal berkata benua itu sebenarnya cantik, selamat serta tidak begitu mundur seperti digambarkan media seluruh dunia.
Tambah beliau lagi, Afrika adalah tempat yang sesuai bagi pengembara yang sukakan cabaran dan menikmati keunikan pengembaraan yang luar biasa.
Mengenai pacuan empat rodanya yang dinamakan Teh Tarik 1, Zainal berkata, ia adalah simbol tidak rasmi mengggambarkan perpaduan rakyat Malaysia dan beliau bangga membawa nama itu ke seluruh dunia.
"Ramai yang ingin tahu tentang nama Teh Tarik 1 ini di sepanjang perjalanan kami dan setiap kali saya tanpa jemu akan terangkan maknanya.
"Semua kaum, agama, umur, jantina... semua pangkat, orang bandar, orang kampung, orang politik, orang biasa minum teh tarik di Malaysia. Minum tak kira masa dan tak kisah tempat. Teh tarik sinonim dengan Malaysia," katanya.
Mengenai sambutan Aidilfitri, Zainal berkata, pada 2019 mereka menyambutnya di Republik Crimea, Rusia; Kigamboni, Tanzania (2020) dan pada tahun ini mereka menyambutnya di Mbabane, Eswatini.
Ditanya, bila kembara ini akan berakhir dan pulang ke Malaysia, Zainal berkata, buat masa ini mereka tidak pasti dan ia bergantung kepada keadaan semasa, tambahan pula masih ada beberapa negara di benua Afrika yang ingin dilawati lagi.
Ifwan Tun Tuah
Fri May 14 2021
Zainal dan isterinya Celeste F Theunissen, meneruskan kembara di Afrika dengan semangat yang positif sambil cuba melindungi diri daripada jangkitan COVID-19. - Foto Facebook/Zainal Celeste
PDRM gerak unit skuba forensik, K9 cari telefon, rantai Nur Farah Kartini hari ini
Proses mencari bahan bukti akan dimulakan sekitar jam 9 pagi di kawasan parit berhampiran ladang kelapa sawit berkenaan.
Bangkai pesawat MH17 tanpa sayap imbau kekejaman tragedi menyayat hati
Keadaan serpihan pesawat MH17 Malaysia Airlines (MAS) yang cuba dibina semula tanpa sayap, tayar, ekor dan tempat duduk penumpang cukup menggerunkan sekali gus mengingatkan pada kekejaman yang meragut
VOP akan diselesaikan dalam tempoh sebulan - Ahmad
Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP) susulan penyasaran subsidi diesel dijangka diselesaikan dalam tempoh sebulan lagi, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Industri minyak sawit disaran guna semula sisa untuk bahan api penerbangan mampan - Liew
Industri minyak sawit perlu mengkaji penggunaan semula sisa sebagai stok suapan penting untuk bahan api penerbangan mampan (SAF), di luar penggunaan tradisional minyak sawit.
SDG: UTP lahir pelajar berkemahiran, tinggi tanggungjawab sosial
UTP berhasrat mendidik pelajar bukan sahaja untuk mahir dalam aspek teknikal tetapi juga untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab.
MAA semak semula unjuran jualan kenderaan 2024 kepada 765,000 unit
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyemak semula unjuran jualan kenderaan bermotor baharu bagi 2024 kepada 765,000 unit daripada anggaran sebelumnya sebanyak 740,000 unit.
RUU 355: Pindaan perlu untuk praktikaliti, keadilan
Apa sahaja pindaan terhadap akta itu perlu berjalan selari dengan persediaan mereka yang bertanggungjawab melaksanakannya.
Rasionalisasi RON95 dijangka beri impak lebih besar kepada PKS - SAMENTA
SAMENTA menjangkakan rasionalisasi RON95 akan memberi impak yang lebih besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbanding pelarasan subsidi diesel.
Malaysia sasar pengeluaran 40 peratus sektor akuakultur menjelang 2030
Malaysia menyasarkan pengeluaran 40 peratus hasil sektor akuakultur menjelang 2030 dalam usaha membantu mengimbangi keperluan perikanan negara.
10 Berita Pilihan - (16 Julai 2024
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Teh Tarik 1 keliling Asia, Eropah, Afrika, sambut Aidilfitri di Swaziland tahun ini
Perjalanan menggunakan laluan darat yang dijangka memakan masa 17 bulan bermula 28 Februari 2019 sehingga 31 Julai 2020, tidak berjalan seperti dirancang berikutan sekatan perjalanan di banyak negara.