DUBAI: Dilabel sebagai 'bangunan paling cantik di dunia', Museum of The Future secara rasminya dibuka Selasa lalu, menandakan kemunculan satu lagi mercu tanda di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mengambil masa sembilan tahun untuk disiapkan.

Bangunan tujuh tingkat dengan keluasan 30,000 meter persegi itu terletak tidak jauh dari bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, sebuah lagi struktur ikonik yang menghiasi latar langit Dubai.

Museum of The Future adalah tambahan terbaharu kepada usaha menonjolkan seni bina Dubai dengan reka bentuk futuristik.

"Museum of The Future ialah 'muzium hidup', sentiasa bermetamorfosis kerana persekitarannya mendorong perubahan berterusan," kata Mohammed Al Gergawi, Menteri Hal Ehwal Kabinet UAE dan Pengerusi Yayasan Masa Depan Dubai semasa majlis perasmian.

Direka oleh arkitek Shaun Killa, bangunan itu diilhamkan untuk menjadi ikon seni bina dan budaya, dan merupakan pencapaian yang luar biasa dalam reka bentuk dan kejuruteraan bantuan komputer.

Muzium ini akan memberi pengalaman menarik untuk orang ramai mendapat inspirasi daripada pelbagai aspek pemikiran masa depan. - Reuters

Diperbuat dari keluli tahan karat, bahagian hadapannya sahaja mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan, yang terdiri daripada pemasangan panel bahan komposit empat lapisan yang amat kompleks.

Garisan cahaya sepanjang 14,000 meter, menerangi kaligrafi tiga petikan kata-kata Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, Naib Presiden yang juga Perdana Menteri UAE dan Ketua Pemerintah Dubai.

Muzium ini diberi kuasa solar 4,000 MWh setahun yang dijana oleh taman suria dan memenuhi piawaian kemampanan global tertinggi.

Pelawat akan menerokai persekitaran masa depan yang mengasyikkan, direka untuk merangsang deria dan perkembangan minda.

Ia akan memberi pengalaman menarik untuk orang ramai mendapatkan inspirasi daripada pelbagai aspek pemikiran masa depan.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!