SUDAH menjadi kebiasaan masyarakat Iban di Sarawak tinggal bersama-sama di bawah satu bumbung.

Bukan satu atau dua keluarga, tapi berpuluh keluarga mendiami sesebuah rumah panjang. Inilah keunikan yang ada di Bumi Kenyalang yang tidak terdapat di mana-mana.

Struktur rumah panjang Iban sangat menarik. Setiap ruang bilik yang bercantum yang membentuk rumah itu sebenarnya mempunyai pecahan bahagian mengikut jumlah keluarga yang ada di rumah panjang itu.

Rumah Panjang atau dalam bahasa iban, rumah panjai ini pada asalnya mempunyai ciri-ciri asli yang merangkumi bahan pembinaannya.

Cukup istimewa, bahan binaannya terdiri daripada tiang jenis kayu dan tidak mudah reput seperti kayu terbelian yang begitu mudah didapati di Kepulauan Borneo.

Rumah panjang lambang perpaduan sebenar. - Foto BERNAMA

Manakala bumbungnya pula menggunakan daun rumbia seperti Biru, Pantu, Mulong dan jenis daun tebal. Struktur dinding dan lantainya pula diperbuat daripada kulit kayu atau buluh.

Antara ruang utama yang terdapat di rumah panjang adalah bilek (bilik), bilek besai (ruang tamu), sadau (tingkat rumah atau peran), tanju (serambi), ruai (ruang terbuka) dan tempuan (pintu masuk utama).

Peredaran masa sedikit sebanyak mengubah landskap asli rumah panjang. Kebanyakan rumah panjang kini sudah maju dan dibina menggunakan konkrit serta dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air.

Rumah panjang lambang perpaduan sebenar. - Foto BERNAMA

Tambahan kini, sesetengah rumah panjang ada pelbagai fasiliti yang disediakan bagi kegunaan komuniti rumah panjang itu seperti gelanggang, perpustakaann mini, pusat gerakan dan sebagainya.

Akan tetapi masih ada juga rumah panjang yang mengekalkan struktur aslinya sehingga kini. Keunikan struktur binaan rumah panjang sebenarnya menjadi identiti bahawa masyarakat Iban mampu hidup secara harmoni meskipun pelbagai orang berteduh di bawah satu bumbung.

Adat tradisi yang sentiasa dikekalkan dan dijunjung tinggi oleh masyarakat Iban bukti kaum ini mempunyai pegangan kuat dalam mempertahankan budaya mereka. Sambutan istimewa pada Hari Gawai sememangnya dinanti di mana ia bawa bersama ahli keluarga dan sanak saudara berkumpul, bergurau senda di rumah panjang.

Ingin lihat rumah panjang yang sebenar? Wartawan Astro Awani, Nickyson Nyambar ada perkongsian bersempena kepulangannya ke kampung halaman pada 1 Jun ini. Segalanya di saluran 501,
Awani Sarawak, 7 malam dan astroawani.com.