NASI merupakan makanan asasi atau makanan ruji bagi majoriti masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di negara ini.
Pelbagai jenis hidangan nasi disediakan untuk memenuhi selera yang pelbagai di kalangan masyarakat kita.
Ada yang gemar makan nasi campur, ada yang suka nasi beriani, ada yang lebih suka memilih nasi kandar dan yang paling menjadi kegemaran masyarakat Malaysia adalah nasi lemak serta nasi goreng kampung.
Namun, tahukah anda bahawa nasi berasal dari beras dan beras dituai daripada padi yang ditanam oleh petani di sawah bendang?
Seorang petani yang berasal dari Keningau iaitu Encik Siteo Akang telah melakukan inovasi apabila mencipta mesin pelerai padi yang diperbuat daripada besi terpakai dan barang gantian kenderaan.
Mesin yang dicetuskan berpandukan ilham Siteo sepenuhnya ini direka bagi memudahkan lagi tugas pesawah yang dahulunya terpaksa menghempas padi menggunakan tangan.
Menceritakan pengalamannya ketika mula mereka cipta mesin tersebut 12 tahun lalu, Siteo menjelaskan usahanya itu bukan mudah dicapai dengan lima unit pertama dihasilkan tidak begitu memuaskan.
Bagaimanapun, beliau tidak berputus asa dan terus membuat penambahbaikan sehinggakan kini telah berjaya menjual lebih 100 unit mesin pelerai padi di sekitar Keningau, Tambunan, Tenom dan Ranau.
Walaupun sudah mula dikomersilkan di pasaran setempat, Siteo yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi tetap berusaha memajukan lagi teknologi mesin tersebut mengikut pengalaman dan logik akal untuk mudahkan hidup petani setempat.
Mesin tersebut dikatakan mampu meleraikan satu ekar padi daripada hampasnya dalam masa 2 jam berbanding kaedah hempas padi menggunakan kudrat tangan yang memerlukan masa lebih satu hari untuk satu ekar sawah.
Selain tidak membazirkan banyak tenaga, mesin pelerai padi itu mengurangkan jumlah padi terbuang dengan ketara, jauh lebih sedikit berbanding menggunakan tangan. Menurut Siteo, kos mesinnya itu bergantung kepada harga besi semasa dengan anggaran harga sekitar RM2,000 hingga RM3,000 termasuk dengan enjinnya, jika harga besi mahal.
Tambahnya, sebuah mesin dapat disiapkan dalam masa satu minggu dengan bilangan pekerja yang membantunya kini dan pembeli mungkin terpaksa menempah dahulu jika sudah kehabisan stok mesin yang sudah siap dipasang. Antara maklum balas kumpulan penyelidik termasuk penambahbaikan teknologi dan kemungkinan pengeluaran besar besaran mesin tersebut untuk mengurangkan kos dan harga jualan.
Walaupun bermula di kampung kecil dan menggunakan enjin pam air, mesin pelerai padi itu membuktikan faktor geografi dan taraf pendidikan tidak menghalang sesiapapun melahirkan inovasi tersendiri.
Mengambil kira kemungkinan inovasi serupa telah dicipta di tempat lain, reka bentuk ringkas mesin itu akan dinilai untuk penambahbaikan dan mungkin juga bantuan-bantuan khusus mengikut kriteria yang telah ditetapkan.