Pengusaha kuih piana di Taman Wangi, di sini, Nor Asmida Arif, 33, berkata, kekurangan pembuat kuih piana memberi kelebihan kepadanya apabila dia bersama suami tidak menang tangan untuk menyiapkan lebih 200 biji kuih piana sehari.
Menurut Nor Asmida, mereka menjana pendapatan dengan menjual kuih piana sejak 10 tahun lalu selepas mempelajari resepi daripada ibu mentuanya, Rosenani Hamzah.
Katanya, setiap hari bermula pukul 10 pagi dia akan membuat adunan dan seterusnya membakar kuih piana sehingga lewat petang.
“Tak ada orang buat (kuih piana) yang sedap (sedangkan) permintaan tinggi. Bulan puasa saya dan suami akan fokus berniaga kuih ini,” katanya.
Pembuatan kuih piana perlu berhati-hati, kata Nor Asmida.
Paling utama, jelasnya, tidak boleh guna terlalu banyak santan.
“Dengan satu kilogram gandum sekali bancuh, dapat hasilkan 30 biji kuih piana,” cerita Nor Asmida.
Kata Rosenani pula, resepi kuih piana dipelajari daripada ibunya dan kini anak dan menantunya pula mewarisi cara pembuatan kuih itu.
Menurut Rosenani, kuih piana dibuat menggunakan bahan asas seperti telur, santan, tepung gandum dan daun pandan.
“Kuih ini kita panggil piana dan piana ini disebut sejak dari dulu lagi dan generasi sekarang mungkin tidak tahu.
“(Tambahan pula) kuih piana sekarang dimasukkan pewarna sedangkan yang asal guna daun pandan. Versi sekarang ada juga diletakkan bijan (sedangkan) generasi saya tidak biasa masukkan bijan, ikut yang asal,” ujar Rosenani.
Sementara itu, pengusaha kuih piana, Mohd Hafiz Mohd Nasir berkata, kuih piana mengambil masa selama 25 minit sekali masak.
“Kalau dulu masa guna dapur arang, sekarang guna oven. Kalau ada banyak tempahan kami akan mula memasak bermula pukul 10 pagi dan habis sekitar lewat petang,” ujarnya.
Kuih piana dijual kepada pelanggan sekitar bandar Gua Musang pada harga RM8 sebiji.