KETUA Armada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membidas golongan yang dianggap sengaja memutar belitkan kenyataan yang dibuatnya berkenaan pendidikan seks untuk remaja.

Kata Syed Saddiq, biarpun ini bukanlah kali pertama kenyataannya dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, namun dia tetap kesal kerana isu yang cuba dibentangkan jauh tersasar dari tujuan asal.

"Sejak bila saya menghalalkan seks bebas?

"Apabila bercakap tentang pendidikan seks, ramai yang menganggap ia adalah berkenaan seks bebas sedangkan ia sebaliknya.

"Mendidik sambil mencegah. Persoalannya, kenapa kita tak boleh buat kedua duanya?" soal bekas pendebat terbaik Asia itu.


Tambah Syed Saddiq, remaja di negara ini memerlukan satu pendekatan pendidikan yang menyeluruh, apatah lagi Malaysia kini merupakan salah sebuah negara dengan kadar jangkitan HIV tertinggi di Asia, selain kadar sumbang mahram yang juga tinggi.

"Majoriti kes pembuangan bayi pula melibatkan golongan Melayu Islam. Kerana itu kita memerlukan semua pihak duduk semeja mencari penyelesaiannya.

"Kalau anda berpendapat pendidikan seks adalah satu bentuk sokongan kepada amalan seks bebas, saya tak boleh tolong anda lagi," katanya.

Syed Saddiq sebelum ini menyarankan pengajaran seks selamat kepada remaja sebagai satu cara membanteras pergaulan bebas dan pembuangan bayi.

"Adalah tidak boleh dinafikan remaja sekarang semakin bebas. Paling kurang kita mengajar mereka mengamalkan seks selamat dengan menghalang mereka dari mengandung," tulisnya di Twitter beberapa hari lalu.