PENYERANG prolifik Liverpool, Mohamed Salah, membuat pengakuan tidak akan sekali-kali meninggalkan puasa Ramadan, walaupun pada hari perlawanan penting hujung minggu ini.

Salah, yang sentiasa mengutamakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim, menimbulkan kegusaran ramai peminat kelab itu apabila fakta menunjukkan dia akan berpuasa selama 18 jam pada pentas final Liga Juara-Juara Eropah, hujung minggu ini.

Menurut laporan portal berita Arab Saudi, Salah memaklumkan soal berpuasa tidak sepatutnya menjadi isu kerana jelas, dia beragama Islam.

"Kejayaan saya hari ini datang dari Allah. Saya akan terbabit dalam banyak perlawanan penting pada bulan Ramadan ini, termasuk Piala Dunia, tetapi saya berniat mahu menghabiskan puasa 30 hari tanpa meninggalkannya," kata Salah seperti yang dipetik portal Yenisafak.com.

Liverpool akan menentang Real Madrid pada Sabtu 26 Mei, dan perlawanan akan berlangsung di Kiev, Ukraine.

Mengikut laman web SalahTimes.com, waktu berpuasa di Kiev pada 26 Mei ini bermula jam 2.32 pagi dan tamat jam 8.53 malam.

Waktu perlawanan pula ialah 7.45 malam, bermakna Salah akan turun bermain ketika dia masih berpuasa, jika tersenarai dalam kesebelasan utama.

Namun begitu, ada juga peminat yang yakin Salah tidak berpuasa pada hari berkenaan kerana dia sedang bermusafir.

"Kepada anda yang tertanya-tanya, Salah mungkin tidak berpuasa kerana mereka sedang bermusafir. Mengikut ajaran Islam, mereka yang dalam perjalanan jauh dibenarkan untuk tidak berpuasa dan boleh menggantikannya pada tarikh lain," tulis pengguna Twitter dengan nama @grizz.