APABILA melihat rumah bersepah, pasti golongan ibu akan marah. Apatah lagi jika baharu sahaja mengemas.

Lebih-lebih lagi kalau anda yang mempunyai anak ramai, bukan hanya seorang yang perlu diberi perhatian.

Bagi yang mempunyai anak kecil berusia bawah enam tahun, perkara ini sudah menjadi kebiasaan. Tidak perlu rasa lelah atau penat untuk menguruskan anak-anak begini.

Jika anda mempunyai ruang lebih, boleh sediakan ruang khas hanya untuk bermain.

Selepas usia enam tahun, akan menjadi lebih susah untuk minta anak peluk apatah lagi ucapkan perkataan sayang.

Anak sudah pandai rasa kerana pada masa itu, anak anda sudah mempunyai akal.

Bila mahu didik anak anda berkasih sayang? Jawapannya, enam tahun ke bawah.

Dari segi kajian, didikan enam tahun ke bawah dengan banyak bermain dan 'bonding time' bersama Ibu bapa banyak memberi kesan terhadap sosio emosi anak.

Selari dengan pesanan Rasullullah SAW, Baginda berpesan berkasih sayang dan menyayangi anak tanpa batas.

Anak berusia enam tahun ke bawah tidak boleh dipukul walaupun mereka melakukan kesalahan atau atas dasar mendidik.

Akhirnya mereka akan rasa dekat dengan kita dan merasakan kita adalah orang yang menjadi pelindung dirinya serta dianggap teman tempat rujukan.

Ini akan memberi kesan untuk jangka masa panjang bermula daripada usia tujuh tahun sehingga dewasa.

Oleh itu usia emas anak adalah enam tahun ke bawah!

Ada Ibu bapa datang berjumpa saya, mereka merasa kecewa dan kesal apabila anak lebih menuruti perintah datuk dan nenek berbanding ibu bapa mereka sendiri.

Cuba tanya diri kita semula. Kenapa anak memilih datuk dan nenek berbanding anda sebagai ibu bapa mereka?

Jadi mulai hari ini dan saat ini, tanam satu azam. Peluk anak, cium anak, ucapkan perkataan sayang, pandang anak dengan kasih sayang,

Tahan marah dan genggam tangan daripada naik ke kulit anak.

Ucapkan yang baik-baik, katakan yang baik-baik, nasihat yang baik sahaja sehingga anak berusia 7 tahun walaupun terpaksa ulang perkara yang sama banyak kali.

Anak baru memulakan hidup, jadi dengan siapa dia akan belajar kalau bukan daripada ibu bapanya?

Enam tahun sahaja wahai ibu bapa sekalian.

Objektif bukan untuk mendidik, tetapi berkasih sayang sambil mendidik dengan kasih dan sayang.

Hanya kasih dan sayang.

Idzmir Shahril
Pakar terapi pertuturan kanak-kanak

Artikel asal disiarkan di Keluarga.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !