Mengikuti pengajian peringkat sarjana di University of Applied Offenburg, Jerman, saya perlu merasai pengalaman berpuasa lebih 14 jam, lebih dua jam berbanding di Malaysia.
Selebihnya, berbuka puasa di dalam kelas berbekal hanya sebiji kurma semasa pensyarah sedang mengajar.
Pengajian sarjana saya mengambil masa selama 18 bulan di mana semester pertama di Jerman, semester kedua di Poland dan seterusnya boleh memilih di mana-mana negara untuk menyiapkan tesis.
Ini pertama kali pengalaman saya berpuasa, bersahur dan berbuka di luar negara. Sangat menarik, tetapi penuh cabaran.
Semasa awal Ramadan, saya sudah memasuki semester kedua. Jadi, saya berada di Poland, lebih tepat di Warmia Mazury, kira-kira dua jam perjalanan ke Warsaw, ibu kota Poland.
Tidak seperti di Offenburg, Jerman, tempat saya belajar semasa semester pertama, komuniti Muslim di Warmia Mazury sangat kecil. Hanya saya pelajar Malaysia. Kalau komuniti Muslim pula asal mereka adalah daripada Pakistan atau Bangladesh.
Masjid juga, saya tidak jumpa ada di mana-mana berdekatan tempat saya tinggal. Atas sebab itu, puasa di Poland ada cabarannya sendiri.
Pernah sekali teringin untuk makan Roti John sebagai menu Iftar. Semua bahan ada - roti, telur, bawang, serbuk kari dan keju. tetapi tiada daging atau ayam kisar.
Mahu hasilkan Roti John, baru saya sedar, susah betul untuk mendapatkan daging atau ayam halal di Poland.
Kalau ada sekali pun, perlu "booking" awal dengan penjual yang bergerak secara "mobile" dari satu tempat ke tempat yang lain.
Jika bernasib baik, boleh juga dipesan secara dalam talian, tetapi mengambil masa yang agak lama untuk tiba. Menyedari itu semua, apabila masa berbuka tiba, sedihnya, Roti John, yang saya idamkan itu, hanya tinggal kenangan. Roti yang ada pula, saya cicah dengan Milo panas.
Semasa di Poland, di bulan Ramadan, saya ada cuti selama seminggu.
"Ayuh, kita ke Denmark dan Sweden, negara Skandinavia yang cantik dan hijau," kata rakan satu kuliah Andres dari Colombia.
Ya, menarik sekali, ada juga pengalaman berpuasa dan berbuka di dua negara itu, kata saya.
Tiba masanya, kami berlima semuanya, termasuk saya dan Andres, Nikki dari Colombia, Carl (Jerman), Shreya (India) dan William (Hong Kong) bergerak memasuki Sweden dua hari dan baki tiga hari di Denmark.
Memandangkan hanya saya sahaja Muslim tetapi matlamatnya adalah melancong menghargai negara orang, bulan puasa di Denmark dan Sweden, saya jalani sambil jalan-jalan.
Banyak tempat yang menarik kami lawati, daripada muzium, menghargai hiasan dalaman bangunan, kehijauan taman dan tasik.
Di Sweden, apabila waktu tengah hari tiba, rakan-rakan saya makan, tetapi mereka akan memaklumkan saya supaya membeli makanan awal-awal untuk berbuka.
Sewaktu berbuka, mereka akan "stop" jalan-jalan dan teman saya berbuka sebelum menyambung semula jalan-jalan. Kerana tidak tahu mana-mana lokasi kedai halal, di Sweden, saya hanya makan burger ikan sejuk, yang saya beli awal untuk berbuka.
Namun, rasanya amat sedap sekali, apabila dinikmati di tepi tasik yang luar biasa cantik.
Begitu juga hari-hari yang lain di Sweden dan Denmark, kami berhenti untuk saya berbuka puasa sebelum menyambung jalan-jalan.
Di Denmark pula, saya ke Copenhagen, bandar hijau yang memukau dengan pemandangannya. Banyak yang saya baca tentang Copenhagen. Salah satunya, berbasikal amat nyaman di kota ini.
Jadi, saya dan rakan-rakan tidak lepaskan peluang mencuba. Tidak kisah berpuasa, berbasikal di Copenhagen sememangnya pengalaman istimewa.
Udaranya nyaman, pemandangannya hijau, saujana mata memandang. Asyik berbasikal menikmati pemandangan indah Copenhagen, tidak sedar waktu berbuka.
Turun dari basikal, saya berbuka dahulu sebelum sambung semula berbasikal dan makan di hotel kemudiannya.
Saya juga ada pengalaman bersahur di atas bas dari Sweden ke Denmark. Perjalanan menaiki bas ambil masa selama 18 jam.
Kebetulan pada 1 April 2024 adalah peralihan musim sejuk ke musim bunga. Ia juga beri kesan kepada perbezaan masa.
Biasanya, waktu berpuasa di 10 hari terakhir Ramadan adalah dari 4 pagi hingga 7 malam.
Jadi waktu Imsak adalah sekitar pukul 3 .45 pagi. Ketika itu saya masih dalam bas, mahu bersalur, tetapi secara tiba-tiba, kerana peralihan musim yang beri kesan kepada masa, waktu jadi bertukar, dari pukul 2 menjadi pukul 3, dan waktu Imsak hampir tiba, tetapi saya masih belum bersahur.
Nasib tidak terbabas, akhirnya, air putih sahaja saya jamah. Tidak mengapa, saya pujuk hati, inilah cabaran jadi anak perantau.
Kembali ke Poland selepas seminggu mengembara, rutin kembali ke asal, berbuka puasa di bilik sahaja, bersama rakan Muslim, Wael, dari Syria.
Sekali-sekala ke kedai makan halal, Kebab Super King, diusahakan warga Bangladesh. Lebih banyak, beberapa kali, berbuka di dalam kelas, dengan hanya sebiji kurma.
Saya membuat kesimpulan, cabaran berpuasa di perantauan ini sebenarnya bukan tempoh menahan lapar dahaga yang panjang dan lama atau cuaca panas, tetapi sebenarnya mencari makanan halal itu yang sangat sukar.
* Ahmad Taufeq Ismadi Ahmad Zakki merupakan pelajar dari Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan Bioteknologi di University of Applied Science Offenburg, Jerman.
** Artikel ini merupakan pengalaman peribadi penulis.