MUDAH dah murah!

Dua faktor ini mendorong ribuan penduduk di semua bandar utama di seluruh dunia untuk memilih perkhidmatan e-hailing.

Saya harus akui, saya adalah pengguna tegar perkhidmatan e-hailing Grab dan Uber dan keadaan ini didorong beberapa faktor. Mungkin juga kehidupan di kota serta kebergantungan terhadap perkhidmatan awam mendorong saya lebih cenderung mengunakan e-hailing.

Tetapi kenapa bukan teksi?

Enggan mengikut meter, meminta tambang lebih daripada sepatutnya, pemanduan yang tidak selamat dan usia kenderaan yang sudah lanjut mungkin jadi sebab ramai yang pilih untuk tidak lagi menggunakan perkhidmatan teksi, sebaik sahaja ada alternatif lain, terutama sekali apabila itu adalah alternatif yang lebih baik.

Uber kini mempunyai 40 juta pengguna aktif setiap bulan. Sementara aplikasi Grab pula merekodkan 77 juta muat turun.

Kenapa e-hailing jadi alternatif lebih baik?

Teknologi satelit dan mudah alih membolehkan pengguna menempah kenderaan e-hailing di hujung jari dari mana-mana sahaja. Aplikasi e-hailing juga memberikan indikasi jika ada kenderaan yang menerima tempahan atau tidak. Pengguna juga tidak perlu bimbang mengenai transaksi pembayaran tambang kerana semuanya boleh dibuat menggunakan kad kredit yang sudah didaftarkan menerusi akaun e-hailing terbabit.

Pemandu juga diminta untuk mengikuti laluan perjalanan yang telah ditetapkan. Bagi sesetengah perkhidmatan e-hailing, tambang ke sesuatu lokasi juga sudah ditetapkan. Jadi tiada isu pemandu minta bayaran lebih atau pemandu sengaja memandu menggunakan laluan yang lebih jauh. Ia juga lebih murah berbanding teksi biasa.

Tambang ini juga mengambil kira kos petrol dan penyelenggaraan kereta.

Ini antara kelebihan yang mendorong ribuan pengguna beralih kepada perkhidmatan e-hailing. Tetapi kenapa teksi tempatan tidak boleh menggunakan perkhidmatan sama?

Sehingga pertengahan tahun lepas, 14,000 pemandu teksi sudah mendaftar sebagai pemandu e-hailing.

Malah kerajaan menggalakkan penyertaan mereka dalam platform e-hailing sebagai usaha mendorong pemandu teksi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

Begitupun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, masih ramai pemandu teksi yang enggan menerima teknologi berkenaan.

"Antara cabaran menggalakkan pemandu teksi menggunakan teknologi e-hailing ialah faktor pemandu yang tidak celik IT kerana faktor usia dan menganggap pemandu teksi yang menggunakan platfrom berkenaan sebagai saingan," jelas Nancy ketika persidangan Dewan Rakyat Ogos lalu.

Malah Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail yang lantang mengkritik kerajaan mengenai isu Uber dan Grab mengakui pemandu teksi sukar berubah!

Petang tadi beliau juga meminta Kerajaan untuk memperuntukkan dana bagi membantu pemandu teksi untuk menukar enjin teksi mereka kepada enjin elektrik.

Adakah ini penyelesaiannya?

BACA: Pemandu teksi anggap dianak tiri, minta enjin elektrik - Shamsubahrin

Pada November lalu, tiga syarikat teksi mega di Philadelphia, Amerika Syarikat mengumumkan kerjasama bagi membolehkan mereka kekal kompetitif dalam persaingan dengan Uber dan Lyft, lapor portal Philly Voice.

Kerjasama itu antara lain bakal menyaksikan lebih 1,100 pemandu teksi di bandar berkenaan bernaung di bawah satu aplikasi e-hailing yang tersendiri.

Pemandu teksi juga akan menggantikan meter dengan tablet, yang akan digunakan untuk melaksanakan sistem pembayaran elektronik dan menyemak tambang semasa.

Pelbagai lagi ciri-ciri baharu yang sebelum ini hanya wujud di platform e-hailing seperti Uber, turut akan diperkenalkan seperti pembayaran tanpa tunai dan perkongsian tambang.

Sementara itu, Harvard Business Review menerusi artikel yang ditulis oleh Rafi Mohammed, seorang konsultan strategi dalam penetapan harga, pada 2015 pula menggariskan empat langkah untuk memastikan industri perkhidmatan teksi sentiasa relevan.

1. Jangan minta kerajaan ketatkan syarat! Sebaliknya bersikap lebih inovatif untuk mendapatkan penumpang.
2. Tiru fleksibiliti tambang yang ditawarkan Uber yang mengenakan tambang lebih tinggi semasa waktu puncak dan rendah semasa waktu lengang.
3. Tukar model penetapan tambang. Penulis berpendapat pemandu tidak boleh fokus kepada tambang setiap kilometer, tetapi harus fokus kepada jarak perjalanan yang boleh memberikan pulangan yang lebih kepada pemandu.
4. Bangunkan aplikasi mudah alih tersendiri.

Pagi tadi, saya ke pejabat menaiki kereta yang ditempah menerusi salah satu perkhidmatan e-hailing yang berpangkalan di Singapura.

Semasa dalam perjalanan, pemandu tersebut memaklumkan kepada saya dia memandu dari jam 6 pagi hingga 8 malam setiap hari.

"Penat memang penat, tetapi usaha lebih kalau nak dapat lebih," katanya.

Bila ditanya, beliau mendedahkan beliau boleh membawa pulang pendapatan bersih antara RM6,000 hingga RM7,000 setiap bulan. Semua ini tanpa enjin elektrik.


* Shafizan Johari merupakan wartawan di Astro AWANI.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.