SINGAPURA: Mahkamah Amerika Syarikat (AS) menetapkan 6 Oktober tahun ini sebagai perbicaraan Malone Lam, lelaki warga Singapura yang didakwa mencuri dan melakukan pengubahan wang haram lebih US$230 juta (US$1=RM4.40) dalam bentuk mata wang kripto tahun lepas, lapor CNA.

Lam, 20, yang kini ditahan di sebuah penjara di Virginia, hadir di mahkamah di Washington DC pada Jumaat.

Penolong Peguam Negara AS Kevin L. Rosenberg menyatakan bahawa pihak pendakwaan menjangkakan pertuduhan baharu berkaitan kes itu dalam tempoh 30 hingga 45 hari akan datang.

Dalam kenyataan kepada CNA, peguam bela Lam berkata anak guamnya berharap untuk menggunakan haknya bagi perbicaraan oleh juri.

Beberapa sesi pendengaran sebelum perbicaraan dijangka diadakan dalam bulan-bulan akan datang dan Lam akan berpeluang mengemukakan pengakuan rasmi pada sesi pendengaran itu.

Pendakwa raya AS menyifatkan kes itu sebagai antara kecurian mata wang kripto terbesar yang melibatkan individu persendirian dalam sejarah negara itu.

Lam dan rakan sejenayahnya Jeandiel Serrano, 21, telah ditahan dan didakwa pada September tahun lepas.

Menurut pertuduhan, mereka didakwa telah bersubahat antara satu sama lain dan dengan pihak lain untuk melakukan kecurian mata wang kripto serta mengubah secara haram mata wang kripto yang dicuri itu melalui platform pertukaran dan perkhidmatan "pencampuran".

Mereka akan secara curang mendapatkan akses ke akaun mata wang kripto mangsa dan memindahkan dana itu ke dalam milikan mereka

Mereka didakwa memperoleh lebih 4,100 Bitcoin (bernilai lebih S$230 juta pada ketika itu) daripada mangsa pada Ogos 2024.

Mereka didakwa membelanjakan hasil mata wang kripto yang telah diubah secara haram untuk perjalanan antarabangsa, kelab malam, kereta mewah, jam tangan, barang kemas, beg tangan berjenama, serta menyewa hartanah di Los Angeles dan Miami.

Bagi setiap kesalahan, Lam berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda sehingga US$250,000 atau dua kali ganda jumlah keuntungan yang diperoleh daripada penipuan itu.

-- BERNAMA