Sebuah lirik lagu yang dinyanyikan Micheal Buble berbunyi

‘Another aeroplane, another sunny place
I'm lucky I know, but I want to go home’


Ia cukup signifikan menggambarkan walaupun dunia yang dijejaki oleh seorang anak rantau begitu indah, namun tidak akan sama dengan tempat asalnya.

Dipisahkan beribu batu daripada keluarga pasti memberikan sebuah perasaan rindu kepada perantauan terutama menjelang bulan Ramadan.

Astro AWANI sempat bertemu dua orang pemuda iaitu Ibrahim Hajjar dari Syria dan Abu Baker Abdi dari Arab Saudi bagi berkongsi pengalaman mereka menunaikan ibadah puasa di Malaysia.

Mengakui pada awalnya sedikit kekok menyesuaikan diri dengan perbezaan budaya di Malaysia namun itu tidak menghalang Abu Baker Abdi untuk menyambut Ramadan dan bergaul dengan masyarakat setempat.

“Pada Ramadan lalu, di kejiranan saya ada menyediakan jamuan membuka puasa secara percuma. Saya menjadi ahli jawatankuasa yang membantu mereka. Saya menyukai cara mereka berpakaian bersedia untuk menunaikan Tarawikh berjemaah,” ujar lelaki yang lebih selesa dipanggil Burn ini.
Mengakui pada awalnya sedikit kekok menyesuaikan diri dengan perbezaan budaya di Malaysia namun itu tidak menghalang Abu Baker Abdi untuk menyambut Ramadan dan bergaul dengan masyarakat setempat. -Foto Abu Baker

Apabila ditanya perkara yang paling dirindukannya menjelang Ramadan, dia sempat tersenyum dan bercerita.

“Perkara yang saya paling rindukan ialah suasana di dapur rumah saya. Masing-masing akan berkumpul beramai-ramai dan menantikan apakah hidangan yang bakal terhidang di atas meja.

“Ada kalanya kakak saya menjerit memanggil nama saya kerana gas di rumah sudah habis. Saya harus segera mencari gas baharu sebelum berbuka puasa,” katanya sambil tergelak kecil.

Berlainan pula ceritanya dengan Ibrahim Hajjar daripada negara bergolak Syria. Walaupun kali terakhir berpuasa di negaranya itu pada tahun 2009, Ibrahim masih mengingati kenangan berpuasa di sana.

“Selalunya, saya dan pakcik akan membeli juadah berbuka puasa bersama-sama. Kami tidak mempunyai tapak jual makanan seperti bazar di Malaysia. Maka kami harus pergi ke kedai yang terletak agak jauh untuk mencari roti, manisan, minuman dan baklava,” ujarnya.

Mengakui sedih dengan konflik yang melanda negaranya, Ibrahim bagaimanapun bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan di Malaysia yang selalu bersama-sama untuk membantunya.

“Saya bersyukur dan gembira dapat berpuasa di Malaysia dengan rakan-rakan di sini. Mereka banyak mengajar saya tentang budaya dan bahasa Melayu.

Ibrahim walaubagaimanapun bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan di Malaysia yang selalu bersama-sama untuk membantunya. -Foto Ibrahim Hajjar

“Kadangkala mereka mengundang saya ke rumah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama,” kata Ibrahim yang kini boleh bertutur dengan baik dalam Bahasa Melayu.

Ibrahim berbuka puasa bersama-sama rakan di Malaysia

Kedua-dua mereka menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang harmoni dan berharap ia kekal terpelihara dan makmur.

“Walaupun rakyat Malaysia mempunyai perbezaan, tetapi mereka saling menghormati dan menyebarkan kasih sayang,” ucap Abu Baker.

Bagi Ibrahim, semoga rakyat Malaysia tidak melupakan identiti mereka. Adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk menjaga nilai itu di samping terbuka mempelajari budaya orang lain.