TAHUN 2015 bakal meninggalkan kita hanya beberapa jam sahaja lagi. Tentunya begitu banyak suka duka yang dicatatkan tahun ini, dan ada sebahagiannya berjaya diabadikan di dalam foto-foto yang dirakamkan oleh jurugambar Astro AWANI, Shahir Omar.

Untuk mendapatkan gambar yang mampu menarik perhatian dan menggamit perasaan pembaca bukannya mudah buat dirinya malah satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul. Malah perlu ada 'jiwa' di sebalik hasilnya.

Shahir mengimbas kembali detik-detik merakamkan imej dan detik yang kini menjadi lipatan sejarah untuk tahun 2015.

Sukan berkuda di Kelantan

Seorang joki memerhatikan kudanya merenggangkan otot sebelum perlumbaan bermula di pantai Kubang Golok Kelantan. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Antara sukan yang mendapat perhatian masyarakat di Kelantan, pelbagai baka kuda diternak sebagai satu hobi.

Gambar diambil Shahir September lalu dalam satu perlumbaan. Menurut Shahir, perlumbaan tersebut mengambil tempat di tepi pantai dengan pemandangan yang indah, disaksikan lebih 100 pengunjung yang menghargai sukan ini.

Kasih si bapa

Dedikasi seorang ayah terserlah apabila setiap hari Rosli menghantar dan menjemput pulang kedua-dua anaknya itu meskipun hanya berkerusi roda. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Bertindak dari laporan yang dibaca dalam sebuah akhbar tempatan, Shahir menjejaki seorang lelaki, Rosli Hamid, di Negeri Sembilan untuk mengetahui kisahnya. Rosli yang lumpuh menghantar dan menjemput anak-anak setiap hari di sekolah, walaupun hanya berkerusi roda.

Gambar diambil ketika Rosli mahu membelikan sarapan untuk anak-anaknya sebelum ke sekolah, namun restoran tersebut ditutup.

Perlawanan Akhir Piala Malaysia

Saat-saat gol pertama dijaringkan oleh Selangor menerusi Hazwan Bakri. Foto Shahir Omar/Astro AWANI

Antara acara terpenting dalam kalendar bola sepak negara, perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 2015 menemukan Gergasi Merah, Selangor dan Juara Liga Perdana, Kedah.

Pengalaman pertama Shahir menggunakan shutter release trigger, dan hasilnya sekeping foto yang berjaya menangkap saat-saat gol pertama Selangor dijaringkan.

Solat Sunat Tarawikh

Umat Islam di Malaysia menunaikan solat sunat Tarawikh di Masjid Negara sempena ketibaan bulan Ramadan tahun ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Antara yang paling dinanti-nantikan oleh umat Islam setiap kali tibanya bulan Ramadan ialah menunaikan solat sunat tarawikh.

Gambar diambil di Masjid Negara, pada malam pertama tarawikh tahun ini. Mengambil inspirasi dari media Indonesia, sudah banyak percubaan Shahir untuk mengambil gambar berkonsepkan flow shutter, dan tahun ini percubaan itu berjaya.

Perhimpunan Bersih

Perhimpunan

Ribuan menyertai perhimpunan yang berlangsung di kala rakyat bersedia menyambut kemerdekaan ke 58, demi menuntut pilihan raya yang lebih telus dan adil.

Shahir berjaya merakam saat di mana peserta menyanyikan sebuah lagu pembakar semangat, dan bendera Malaysia dikibar megah, tanda cinta pada negara tidak tergugat walau apa pun situasi.

Perhimpunan Baju Merah

Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sedang menenangkan suasana sewaktu tunjuk perasaan kumpulan

Sedikit kekecohan tercetus dalam perhimpunan pada September yang disifatkan sebagai simbol sokongan rakyat kepada kerajaan ini.

Shahir menganggap gambar ini sebagai simbolik penyatuan kaum, apabila anggota FRU mempertahankan penunjuk perasaan daripada memasuki Petaling Street yang dikuasai masyarakat Cina.

Banjir Pantai Timur 2015

Kemusnahan akibat banjir besar yang melanda Gua Musang di Kelantan awal tahun ini. Gambar diambil pada 11 November lalu. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Bah kuning melanda Kelantan akhir tahun lalu dan berlarutan sehingga awal tahun ini. Dan lebih setahun berlalu, kesannya masih dirasai penduduk yang terlibat.

Seorang penduduk Gua Musang, Mat Taha Husin membawa Shahir ke rumahnya yang dilanda banjir. Apa yang ditemui hanyalah dinding rumah, yang redup di bawah rimbunan pokok.

Wajah penuh harapan mangsa banjir di Kelantan. Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Satu petang 24 Januari lalu, seorang ibu mendukung anaknya yang masih tidak mengerti apa-apa, mencari apa yang boleh ditemui di sebalik kemusnahan akibat banjir. Foto ini menjadi foto kegemaran Shahir, yang menyifatkan ekspresi innocence daripada si kecil itu sangat menyentuh hati.

Upacara pengkebumian Tunku Abdul Jalil

Suasana sayu di upacara pengkebumian Tunku Jalil. Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Seluruh negara diselubungi kesedihan apabila putera kesayangan rakyat, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, menghembuskan nafas terakhir 5 Disember lalu akibat barah hati.

Upacara pengkebumian diraja memerlukan seorang jurugambar mematuhi beberapa protokol. Namun Shahir terkesan apabila kekanda Tunku Jalil, Tunku Ismail, menyambut keranda adiknya untuk dibawa ke tanah perkuburan.

Ini adalah foto paling mencabar untuk Shahir, memandangkan dia perlu mematuhi banyak protokol dan terpaksa membawa pelbagai peralatan mengambil gambar sejauh 3 kilometer.

Upacara pengkebumian Nik Aziz

Lautan manusia yang tidak mahu terlepas memberi penghormatan terakhir untuk Datuk Nik Aziz Nik Mat. Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Upacara pengkebumian tokoh agama yang cukup disegani yang juga merupakan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memperlihatkan satu situasi yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Cerita Shahir, ribuan hadir memberi penghormatan buat Allahyarham, seawal jam 7 pagi. Kebijaksanaan seorang jurugambar diperlukan dalam situasi ini untuk mencari sudut terbaik, dan Shahir terpaksa memanjat bumbung van untuk mendapat shot ini.

LIHAT GALERI: 10 Foto Terbaik Astro AWANI Sepanjang 2015