Mangsa rogol perlu menjalani sesi kaunseling bagi membantu mereka menyembuhkan diri sama ada dari segi psikologi dan fizikal.

Menurut Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, setiap mangsa rogol mengalami peristiwa yang berlainan dan cara menangani emosi yang berbeza.

“Kebanyakan mangsa rogol memilih untuk hidup dalam keadaan tertekan sehingga tidak mahu keluar rumah, ada juga yang memilih untuk teruskan kehidupan seperti biasa. Tetapi itu hanyalah penafian diri.

“Mereka ini memerlukan sesi kaunseling untuk terus diberikan motivasi dan pastikan mereka mendapatkan rawatan yang sepatutnya di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum 'Pemangsa Serakah vs Mangsa Menyerah' yang berlangsung di O2 Malaysia, Plaza Flamingo, Ampang, malam tadi.

Noor Aziah yang juga Pesuruhjaya Kanak-kanak turut menjelaskan, mangsa rogol mungkin keliru terhadap keadaan yang dihadapinya selepas insiden itu, menyebabkan dia merelakan perkara itu berlaku.

Itu juga disifatkan satu penafian diri.

Justeru, jelasnya, mangsa perlu dibawa untuk berjumpa pakar sebelum keadaan bertambah keruh sehingga menyebabkan mangsa berputus asa terhadap kehidupannya.


Sumber Facebook O2Malaysia

Pada masa sama, Noor Aziah turut menggesa agar mangsa atau kenalan rapat mangsa yang dirogol menghubungi Talian Kasih 15999 bagi mendapatkan bantuan, termasuk dari segi kaunseling.

Pada akhir forum, moderator Dira Abu Zahar turut mengingatkan orang ramai, dalam usaha mengurangkan kes rogol di negara ini, tanggungjawab perlu diambil semua pihak.

BACA: Lelaki perlu tahu tanggungjawab elak peningkatan kes rogol - Dira

“Ini termasuk ahli keluarga, pemangsa, mangsa, pihak berkuasa malah masyarakat sekeliling. Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Jadi, kita perlu lebih sensitif dan peka terhadap kes rogol yang semakin meningkat ini agar ia tidak berlaku lagi di negara ini,” tegasnya.

Selain Dira dan Noor Aziah, ahli panel lain adalah 'influencer' media sosial Caprice dan Presiden The International Women's Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.