KOTA: Sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan yang menjanjikan 'malam lebih baik daripada seribu bulan' (Lailatul Qadar) dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam untuk mempertingkatkan ibadah kepadaNya.

Dalam mengejar ibadah, masyarakat di Kota, Negeri Sembilan turut mempertingkatkan hubungan kemasyarakatan begitu juga meneruskan tradisi nenek moyang dengan menghidupkan semula 'malam tujuh likur'.

Kampung Semerbok, Kota yang terletak 15 kilometer dari bandar Tampin, meriah dengan nyalaan pelita pada 10 malam terakhir Ramadan.

Signifikannya 'malam tujuh likur' dengan nyalaan pelita ini bagi memberi kemudahan kepada penduduk yang pulang lewat ke rumah untuk melakukan ibadah bagi memburu Lailatul Qadar yang ganjarannya berlipat kali ganda.

Proses meletakkan 'sumbu' pada pelita, sebelum minyak tanah diisi dalam pelita. - Foto/AstroAWANI/HafiziRosli

Pelita diletakkan di sekitar rumah serta jalan raya, bagi menerangi perjalanan pulang pada waktu malam. - Foto/AstroAWANI/HafiziRosli
Nyalaan pelitan dipasang di sepanjang jalan untuk menerangi perjalanan penduduk setempat.

Pelita dinyalakan selepas berbuka, bagi menerangi jalan-jalan di kampung. - Foto/AstroAWANI/HafiziRosli

Tidak hanya terbatas kepada menerangi jalan-jalan di kampung, 'malam tujuh likur' turut diraikan dengan menyuburkan lagi aktiviti kemasyarakatan - bagi mengeratkan lagi ukhwah sesama penduduk kampung.

Run Rembau, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil peluang untuk menangjurkan program untuk mengekalkan tradisi dahulu supaya generasi akan datang dapat lihat keunikan hidup bermasyarakat kita.

"Kita nak hidupkan kembali amalan menerangkan malam 10 terakhir ini (malam tujuh likur). Kita semarakkan semula tradisi ini supaya generasi akan datang dapat melihatnya dan meneruskan tradisi ini.

"Tidak tertumpu malam sahaja, aktiviti gotong royong bermula sejak siang, melibatkan warga tua mahupun muda,"  jelas Pengerusi Run Rembau, Mohd. Hafiz Mohamad.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Uniknya, aktiviti gotong royong di Kampung Semerbok ini terus dikekalkan tidak kira ketika perayaan atau apa-apa majlis keraian, segala juadah dimasak bersama.

Mengacau dodol memakan masa sehingga 12 jam dan memerlukan kerjasama ramai. - Foto/AstroAWANI/HafiziRosli

"Gotong-royong memang segar di sini. Kenduri kahwin semua kami masak sendiri.

"Memang sambutan meriah daripada masyarakat, walaupun terdapat perbezaan (politik) bila datang aktiviti ini kami bersatu,"  kata Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Semerbok, Kota, Ribuan Abdul Wahab.

Golongan wanita bertungkus lumus membungkus juadah (bubur lambuk) untuk diedarkan kepada orang ramai. - Foto/AstroAWANI/HafiziRosli

Menjelang Syawal ini, juadah seperti dodol, rendang, bubur lambuk dan lemang, menjadi menu wajib.

Setelah siap, rezeki dikongsi bersama - diedarkan kepada penduduk kampung lain.

Juadah diedarkan kepada orang ramai di sekitar kampung. - Foto/AstroAWANI/HafiziRosli

Hampir seharian mengerah tenaga bergotong royong, juadah berbuka menanti untuk dijamah.

Menariknya juga, tradisi makan bersila dengan lauk pauk dihidang dalam dulang masih dikekalkan.

Penulis meluangkan masa berbuka bersama penduduk kampung. - Foto/AstroAWANI/HafiziRosli

Kesemua aktiviti ini dakwa Ribuan harus dikekalkan bukan sahaja meneruskan tradisi nenek moyang, namun jelasnya sebagai pengukuh dalam hidup bermasyarakat.

Dalam masa sama, boleh memelihara hubungan sesama insan.

AWANI Pagi: Menghidupkan tradisi ‘malam tujuh likur’