Jumlah judul dan jenis buku yang diterbitkan di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding di Amerika Syarikat, United Kingdom dan China, oleh itu jumlahnya perlu ditingkatkan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut Abang Johari, UNESCO memantau jumlah dan jenis buku yang diterbitkan setiap negara setahun kerana ia adalah indeks penting untuk mengukur taraf kehidupan dan pendidikan.

"Malangnya, Malaysia jauh di belakang Amerika Syarikat, United Kingdom dan China, berdasarkan populasi, kita perlu menerbitkan sekitar 30,000 hingga 40,000 judul tetapi berdasarkan statistik, kita belum mencapai 20,000 judul," kata beliau pada perasmian Persidangan Antarabangsa Penerbitan Buku Borneo dan Pesta Buku Borneo di sini pada Rabu.

Teks ucapan Ketua Menteri dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili beliau.

"Sarawak mempunyai lebih 40 kumpulan etnik dengan bahasa, budaya dan cara hidup yang tersendiri dan ia memang memberi manfaat jika kita dapat menulis tentang setiap kumpulan etnik untuk memelihara pengetahuan penduduk pribumi dan memahami satu sama lain dengan lebih baik," kata beliau.

Abang Johari berkata mengekalkan pengetahuan pribumi menerusi penerbitan cerita rakyat harus digalakkan selain penerbitan ilustrasi untuk golongan muda untuk membolehkan mereka lebih menghargai alam sekitar.

Oleh itu, beliau mempelawa penerbit buku tempatan untuk meningkatkan penerbitan bukan sahaja buku fizikal tetapi juga buku elektronik yang boleh berinteraksi secara aktif dengan pembaca dan menambah bahawa UNIMAS boleh memainkan peranan untuk mencapai sasaran itu.

Ketua Menteri juga menggesa perpustakaan untuk membeli buku-buku dari penulis tempatan dan menambah, selain kebudayaan, bahasa dan kekayaan biodiversiti, penghasilkan biografi juga harus ditingkatkan kerana ia telah menyumbang kepada pembangunan negeri ini.

Beliau berkata walaupun teknologi telah menjadi cabaran untuk mengekalkan pembaca dalam industri penerbitan cetak kerana semakin ramai orang terutama golongan muda beralih kepada penerbitan di platform mobil, tetapi Abang Johari percaya E-buku dan buku-buku cetak akan wujud seiring dan menambah ada kalanya pembaca lebih gemar membaca buku-buku cetak.

"Kita tidak seharusnya berasa kecewa dengan perubahan tetapi sebaliknya harus memanfaatkan teknologi untuk menghasilkan produk baharu," kata beliau.

Persidangan dan pesta buka itu diadakan buat kali pertama dan dihoskan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Sementara itu, pada sidang media, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohammad Kadim Suaidi berkata universiti itu menyasarkan untuk menerbitkan 20 judul buku setahun.

Beliau juga berkata pihak universiti menyediakan insentif untuk penulis buku dan membayar royalti jika penjualan buku itu amat menggalakkan.

-- BERNAMA