Samsung Electronik merupakan syarikat pengeluar telefon pintar terbesar di dunia, telah menjual lebih 10 juta unit Galaxy S4, model terbaru telefon pintar dalam masa kurang sebulan pelancarannya, lapor agensi berita China Xinhua.

Jualan global telefon pintar Galaxy S4 telah melepasi angka 10 juta sejak pelancarannya pada 27 April, menurut satu kenyataan e-mel.

Model terbaru tersebut telah mencatat rekod untuk Samsung dengan menjana jualan lebih cepat daripada mana-mana pendahulunya. Jualan Galaxy S3 mencapai angka 10 juta 50 hari selepas pelancarannya, manakala Galaxy S2 dan Galaxy S masing-masing mengambil masa lima dan tujuh bulan untuk mencapai aras tersebut.

Pemerhati pasaran menjangkakan model terbaru itu dijual dengan baik kerana pesaingnya Apple tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melancarkan sebarang model terbaru dalam masa terdekat.

Galaxy S4 boleh didapati di lebih 110 negara dan dan secara beransur-ansur akan dikeluarkan di sebanyak 155 negara dengan kerjasama 327 operator mudah alih, menurut Samsung.