ENAM daripada 10 rakan dan kenalan Taiping yang saya hubungi memberikan jawapan yang sama - 'pergi makan sotong kangkung dan yong tau foo di belakang bomba'.
Saya sebagai orang luar agak terpinga-pinga dengan saranan tempat makan tersebut. Maklumlah, bandar ini agak asing bagi saya dengan kenangan terakhir mengunjungi Taiping adalah ketika saya berusia 6 atau 7 tahun.
Namun, saranan tersebut tidak sukar untuk saya fahami dan temui tempatnya. Sejurus turun ke lobi Novotel dan keluar ke pintu utamanya, ya, terpampang di depan mata adalah Pusat Penjaja Taiping.
Terlihatlah kemeriahan medan selera berbumbung yang terletak di 'belakang' bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, yang juga menjadi salah satu ikon bersejarah bagi bandar yang sering dilimpahi nikmat hujan ini.
Saya bersetuju, medan selera itu adalah tumpuan ramai. Mereka yang hendak mencari lokasi mesra bajet pasti akan segera merebut tempat duduk.
Di sebalik deretan dan gantungan 'dekorasi sotong besar dan kangkung segar' dari gerai ke gerai, seleksi makanan lain pun pelbagai, dengan harga dan saiz hidangan yang pasti membuatkan warga Kuala Lumpur cemburu. Beberapa gerai yang saya cuba pun memang tak kurang enaknya. Rasa macam sentuhan 'emak-emak' yang pandai masak.
Begitupun, ketika krew program HamzTravels, iaitu rancangan kembara dan pelancongan terbitan Astro AWANI, berada di bandar istimewa itu untuk jadual penggambaran yang lama, kami bekesempatan mencuba banyak lagi tempat makan yang berbaloi untuk direkodkan dalam catatan gastronomi.
Dari jantung bandar Taiping ke Kuala Sepetang hinggalah ke Kamunting, di sini dikongsikan beberapa gerai, kafe dan restoran yang sempat kami kunjung bertamu, dan dengan besar hati kami ingin syorkan.
Ansari Famous Cendol
Orang Taiping mesti sedia maklum tentang lokasi di Jalan Barrack ini. Sudah tiga generasi mereka ini menghidangkan kesegaran cendol dan keenakan pasembor kepada pelanggan. Pilih saja cendol dengan campuran tambahan yang klasik seperti jagung manis, kacang merah, pulut atau durian. Atau bagi yang berselera besar, minta campurkan semuanya! Kalau hendak tengok gambar yang dikongsi netizen di Instagram, ikuti saja hashtag #ansarifamouscendol.
Doli Kuey Teow
Ini tempat yang sekian lama meniti di bibir penggemarnya. Bisnes keluarga di Jalan Tupai ini menumpukan pada kelazatan kuetiau goreng yang kaya dengan rencah. Kuetiau dengan kerang dan udang memang jadi buruan ramai, lebih-lebih lagi kalau dipesan agar digoreng lebih 'garing'. Mahukan menu lain, di sini juga ada pilihan seperti sup ayam dan kuetiau sup.
Locs & Thyme
Kafe comel di alamat 12, Jalan Lim Teong Chye ini kami temui secara tidak sengaja. Selain terkenal dengan hidangan nasi lemak dan nasi mentega dengan ayam panggang, kafe ini sentiasa membuat kejutan harian dengan mengetengahkan menu fusion yang lazat dan berselang-seli pula dengan pilihan unik antarabangsa. Anda pernah cuba makanan dari Nigeria bernama egushi? Cuba tanya pada pemilik kafe ini mengenainya.
D'Muhibbah Nasi Lemak
Warung terbuka yang dibina ringkas dan terletak di pinggir jalan kadang-kadang menyimpan rahsia dapur keluarga yang hebat. Itu yang kami temui di lokasi ini. Bayangkan nasi lemak anda diiringi hidangan gulai ayam, daging, kambing mahupun sotong yang diberi sentuhan kulinari autentik dari tanah seberang. Pastikan singgah di sini untuk memulakan hari anda!
The Greenhouse Taiping
Restoran, kafe atau lokasi acara - semuanya menjadi satu di premis beralamat 73, Jalan Pasar ini. Variasi hidangan popular seperti pasta, burger, pastri dan kek - setiap satunya mendapat sentuhan kepakaran daripada ahli keluarga pengusahanya. Dekorasi yang 'menghijau' di kafe ini tentunya menjadi idaman mereka yang gemar memuat naik foto ke Instagram.
The Gate Cafe
Bukan mudah bagi sesebuah bisnes untuk bertahan lebih daripada 10 tahun. Itulah yang dibuktikan oleh pengurusan The Gate Cafe di sudut Jalan Maharajalela ini. Sejak dimulakan pada 2004, kafe mesra pelanggan ini menjadi tumpuan anak muda untuk bersosial dari siang ke malam, diiringi menu lazat yang pelbagai.
Restoran Mergastua
Kalau bawa anak-anak ke Zoo Taiping & Night Safari, dan kemudian terasa lapar, bolehlah melangkah masuk ke Restoran Mergastua untuk melunaskan keinginan selera. Pilihan masakan tempatan, Barat dan Asia Selatan menanti dalam suasana yang selesa, dan kami sempat mencuba nasi ayam Hainanese dan juga briyani yang menarik persembahannya.
Mee Banjir Udang Mak Teh
Ini tentunya wajib cuba sebab bisnes ini sudah sekian lama memulakan operasi di Kuala Sepetang, malah rekod kewujudannya mendahului mana-mana pengusaha mi udang yang lain di sekitarnya. Rahsia keenakan mi udang Mak Teh ini terletak pada kesegaran udang yang digunakan. Meskipun tekstur kuahnya tidak pekat, namun jelas terasa perisa daripada isi udangnya yang lemak dan manis. Oh ya, nak puas? Sila pesan mangkuk besar!
Mee Ketam Kg. Dew
Sebelum terpesona dengan kerlipan cahaya kunang-kunang di Kampung Dew yang bermula sejurus matahari terbenam, pastikan anda menikmati terlebih dahulu semangkuk mi ketam ini yang menjadi identiti kawasan tersebut. Apa kata anda datang lebih awal ke jeti popular itu, dan hangatkan dahulu tubuh anda dengan mi yang kaya rasa ketam ini. Oh, bukan guna perasa ya, tapi ada seekor ketam 'bersarang' dalam gumpalan mi itu!
Raintown Brother Western
Sampai ke Kamunting kami menjelajah. Sekiranya hidangan Barat yang anda mahukan namun tawaran di hotel tidak menepati selera, kami sarankan tempat ini. Nyatakan saja mahu apa - pasta, lamb chop, stik mengenyangkan, burger dengan patty daging berjus, semuanya ada. Bagi yang sekadar mahu membasahkan tekak, sila lihat senarai menu minumannya yang bermacam-macam. Anda akan ambil masa sedikit untuk membuat keputusan.
Oasis Restaurant
Ya habibi! Siapa kata di Taiping tiada makanan Arab? Bisnes keluarga Hajah Soraya di alamat 42, Jalan Assam Kumbang ini memang dalam kelas tersendiri. Malah ada pendapat mengatakan, masakan seperti kabsa, mandy dan madghout daripada air tangan keluarga Melayu ini lebih 'menjadi' berbanding pengusaha Arab-Yemen sebenar! Lebih unik, perniagaan ini menjalankan operasinya di dalam sebuah banglo kolonial.
Nafis Kitchen
Di sini ada 'aura' restoran mamak gred A, namun dengan pilihan menu luas merentas geografi! Pada sebelah siang ditawarkan seleksi menu kegemaran tempatan, namun apabila malam menjelma, dapur Bangkok pun beraksi! Nafis Kitchen menambahkan senarai menunya ke hidangan utara Thailand. Kalau datang berkumpulan, boleh pesan menu set pelbagai hidangan yang harganya sangat... sangat... sangat berpatutan! Jumpa Dataran Warisan, jumpalah restoran ini.
The Train
Senang saja nak cari lokasi ini. Katalah anda sampai Taiping dengan ETS, keluar saja dari pekarangan stesen kereta api, teruskan melangkah ke kanan. Teruskan berjalan beberapa meter ke bangunan stesen kereta api lama, dan berhenti di ruang premis Nombor 1. Aroma kepak ayam enak dengan peraman istimewa gaya Buffalo, Thai atau Jepun sedia menyambut anda. Oh ya, kalau anda kenal dramatis 80-an popular, Hilal Azman, perniagaan ini sebenarnya diusahakan oleh anak-anaknya. Kalau beliau ada sekali, memang seronok bersembang!
Roti Bakar Arang Fadzil House
Kalau ke Pokok Assam, marilah 'bergoyang' sampai kenyang! Ya, saya maksudkan kuning telur yang 'seksi' bergoyang atas kepingan roti yang dibakar menggunakan arang. Smokey taste pada roti yang dihidang bersama telur separuh masak dan ditambah kacang panggang memang tiada tandingannya dalam kamus orang yang gemar bersarapan. Beberapa lagi pilihan sarapan lazim rakyat Malaysia juga boleh dipesan di sini yang pasti menggembirakan mood pagi anda!
Pastinya warga Taiping sendiri ada senarai yang lebih panjang. Tentu sekali ada banyak lagi tempat lain yang menjadi pilihan warga tempatan menghabiskan waktu santai sambil menjamu selera bersama keluarga dan rakan-rakan.
Jika ada yang kami terlepas pandang, mungkin anda boleh kongsi lokasi-lokasi menarik itu dengan semua rakyat Malaysia menerusi ruangan komen.
Taiping sememangnya istimewa dengan variasi pilihan makanannya! Selamat menjamu selera!
Program khas enam episod HamzTravels: Discover Taiping telah selesai bersiaran pada pertengahan Februari lalu di Astro AWANI. Ia adalah program dengan pengisian kembara, budaya dan kulinari yang membawa penonton meninjau lebih daripada 50 tarikan pelancongan di Taiping, termasuk lokasi menjamu selera.
Namun, bagi yang belum berkesempatan menonton program yang dibawakan khas oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Majlis Perbandaran Taiping tersebut, sila ikuti siri berkenaan menerusi pautan berikut:
VIDEO: HamzTravels: Discover Taiping (Ep. 1)
VIDEO: HamzTravels: Discover Taiping (Ep. 2)
VIDEO: HamzTravels: Discover Taiping (Ep. 3)
VIDEO: HamzTravels: Discover Taiping (Ep. 4)
VIDEO: HamzTravels: Discover Taiping (Ep. 5)
VIDEO: HamzTravels: Discover Taiping (Ep. 6)
Hamzah Hamid
Mon Mar 19 2018
Taiping yang terlazat! Sebenarnya ada banyak lokasi nikmat untuk 'mengisi perut' kalau anda mengunjungi bandar paling bersejarah di negeri Perak ini. - Gambar hiasan/Instagram: @locsandthymecafe
MOTAC perluas Aspirasi Generasi Pendidikan TVET, pastikan tenaga kerja tempatan dipenuhi
Kerajaan bercadang memperluaskan Program Aspirasi Generasi TVET Sektor Pelancongan bagi membuka peluang kepada lebih ramai graduan tempatan menceburi industri berkenaan.
Salah faham konsep taat antara punca isteri tidak lapor keganasan rumah tangga
Salah faham terhadap konsep taat dikenal pasti antara punca mengapa sebahagian wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Maritim Malaysia rancang perolehan radar baharu guna teknologi AI
Maritim Malaysia merancang untuk memperoleh radar baharu yang akan ditempatkan di kawasan strategik seperti di kawasan perairan Sarawak dan pantai timur.
KPK yakin sasaran RM28 bilion eksport industri kayu dapat dicapai menjelang 2025
KPK yakin sasaran nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM28 bilion menjelang 2025 akan dapat dicapai seperti yang digariskan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2030.
Pencemaran plastik di Sabah semakin membimbangkan - Joachim
Pencemaran plastik di Sabah semakin membimbangkan dan memberi kesan buruk kepada imej negeri ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Perak berpotensi baik sebagai penyumbang ekonomi negara - Rafizi
Perak mempunyai potensi baik berbanding negeri lain sebagai penyumbang ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
MOTAC promosi makanan tempatan sepanjang Kepengerusian ASEAN
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mempromosikan makanan tradisional Malaysia sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 bagi merancakkan industri pelancongan negara.
Tumpuan Selasa – 26 November 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
10 Berita Pilihan - (25 November 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
'Kakak' dan 'adik' sihat...sambut kelahiran 100 hari
Pasangan kembar panda yang dikenali 'Kakak dan 'Adik' yang pertama kali dilahirkan di Hong Kong dikhabarkan membesar dengan sihat dan cergas dibawah jagaan Taman Hidupan Liar wilayah berkenaan. Perkhabaran itu diumumkan Taman Hidupan Liar Ocean Park Hong Kong bersempena dengan sambutan kelahirannya kedua pasangan itu yang kini berusia 100 hari sejak dilahirkan pada 15 Ogos lalu.
Hady Mirza kagumi skala pembangunan mewah Dubai
Bagi Hady Mirza, kunjungan sulung ke Dubai membuka mata tentang kekayaan kota di semenanjung Arab itu yang dijana daripada sektor pelancongannya.
Terpesona seni bina bersejarah, Naqiu cari ilham dan ketenangan di Prague
Juara Gegar Vaganza musim keenam, Naqiu, sempat menjejakkan kaki ke ibu kota Republik Czech bersama isteri tercinta, Hani.
Ke Hanoi untuk sokong Harimau Malaya? Jom melancong sekali!
Sambil menyelam minum air. Sambil menyokong pasukan negara, ada banyak tarikan pelancongan yang boleh dinikmati sewaktu anda di Hanoi. Ikuti beberapa tip ini.
Ini senarai terlazat! Lebih 10 tempat makan wajib anda kunjungi di Taiping
Apa tarikan pelancongan di Taiping? Macam-macam. Bagaimana pula kalau lapar? Senarai ini mungkin boleh membantu kembara gastronomi anda!