Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Amir Hamdan berkata, konsep itu bagi memastikan peserta yang terlibat mendapatkan fasiliti yang terbaik serta selesa seperti tandas, surau dan kemudahan tren tanpa perlu bersesak di jalan raya.
"Macam dua tahun lepas, kami anjurkan program iftar di Dataran Merdeka berkonsep terbuka, tetapi sebaik sahaja berbuka hujan turun. Jadi, untuk tahun ini kami buat keputusan untuk buat di sini selain memberi kemudahan buat peserta.
"Seramai 4,000 orang mendaftar untuk menyertai program iftar tapi kita hanya pilih 400 orang sahaja secara rawak," katanya kepada Bernama semasa majlis iftar bersama Rapid KL yang turut dihadiri Ketua Bahagian Jabatan Komunikasi dan Hubungan Pihak Berkepentingan Prasarana, Adli Abdul Karim.
Sementara itu, peserta Nur Azlin Bahari, 24, berkata, dia dan rakan-rakannya teruja untuk berbuka bersama dengan konsep ala perkhemahan ini setelah sekian lama mereka tidak berjumpa.
"Saya dapat tahu tentang majlis ini melalui TikTok, saya ajak kawan-kawan yang sudah lama tidak berjumpa untuk sertai sekali," katanya.
Fatin Suhailah, 24, pula berkata, ini merupakan program iftar pertama yang dihadiri selepas Ramadan memasuki hari ke-21.
"Sebelum ini saya sentiasa mengikuti perkembangan dan aktiviti Rapid KL di media sosial, jadi bila dapat tahu ada iftar dengan konsep yang menarik ini saya terus ajak kawan-kawan mendaftar sekali," katanya.
- BERNAMA