Kalau pun tidak sempurna, asalkan kehidupan dirasakan cukup segalanya, pasti bahagia tak putus-putus menjengah tiba.
Meskipun kadangkala tragedi menimpa, membantutkan impian namun kehidupan tetap perlu diteruskan, tak kiralah sesukar manapun.
Muhammad Azrul Mohamad Rani, namanya mungkin tidaklah dikenali namun mungkin dia adalah antara contoh terbaik insan yang menerima manfaat daripada kecanggihan teknologi.
Menelusuri semula kisah anak muda ini, kemalangan motosikal yang menimpanya beberapa tahun lepas benar-benar mengubah hidupnya.
Impak kemalangan menyebabkannya koma malah tempurung kepalanya juga pecah.
Mujur, dengan adanya teknologi terkini, keluarganya boleh kembali melihat senyuman manis Muhammad Azrul.
Menggunakan teknologi cetakan 3D, anak muda itu kini dapat menggantikan tempurung kepalanya, sesuatu yang didambakannya selama ini.
Kejayaan menghasilkan implan tempurung kepala itu adalah hasil usaha pengasas 3D Gens Sdn Bhd, Dr Izhar Abdul Aziz yang ternyata gembira dapat membantu Muhammad Azrul.
Menariknya, implan tersebut dihasilkan dengan harga yang lebih murah, 70 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
Teknologi sebegitu biasanya dikuasai orang luar namun membanggakan, ia kini dihasilkan anak tempatan - kualitinya menepati piawaian antarabangsa.
Bagi Dr Izhar, teknologi itu membantu Muhammad Azrul kelihatan seperti dulu, tidak lagi ‘berlekuk’ di bahagian kepalanya.
Bagi Muhammad Azrul pula, teknologi itu membuatkannya kini lebih yakin, tidak berasa malu untuk menempuhi alam remaja.
Jika dilihat wajah anak muda itu, terutama di bahagian kepala, kesan pembedahan itu tidaklah begitu ketara. Begitulah canggihnya teknologi sekaran.
Berdasarkan kejayaan itu, Dr Izhar berharap lebih banyak syarikat tempatan tampil ke hadapan, membangunkan teknologi dan menerokai pasaran seumpama itu di Malaysia.
Ternyata, anak tempatan juga ramai yang hebat-hebat belaka!
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!