SHINJUKU: Sebut sahaja bandar Tokyo, pastinya yang belum pernah menjejakkan kaki ke sana boleh membayangi betapa meriahnya suasana di ibu negara Jepun itu.

Dipenuhi dengan papan tanda iklan pada setiap bangunan bersaiz gergasi, itulah antara tarikan yang boleh disaksikan di bandar besar tersebut.

Baru-baru ini, sebuah papan tanda iklan yang bersaiz 154.5 meter persegi di daerah Shinjuku, Tokyo memaparkan seekor kucing 3D yang seakan-akan nyata.

Kucing jenis 'calico' itu dilihat bermain-main di sudut stesen kereta api, di tengah-tengah kesibukan bandar yang penuh dengan papan tanda dan lampu-lampu yang meriah.

Dengan skrin resolusi 4K, kucing berwarna hitam, oren dan putih itu ada waktu-waktu tertentu yang ia akan bangun seperti ingin bermain dengan orang awam dan ada juga waktu tidurnya.


Menurut laporan media tempatan, pada sebelah pagi, kucing itu akan bangun secara terkejut, sebelah petang pula ia akan berdiri dan mengiau kepada orang mereka yang lalu-lalang.

Manakala pada sebelah malam, kucing comel itu akan baring dan tidur dengan posisi bersandar pada kakinya.

Orang awam yang melalui jalanan di Shinjuku itu boleh melihat kelibat kucing itu di antara jam 7 pagi sehingga jam 1 pagi setiap hari.

Ia malah turut menjadi tumpuan di media sosial apabila salah seorang penduduk di bandar itu ada memuat naik video papan tanda yang terletak di pintu keluar stesen kereta api Shinjuku tersebut.

Bagi anda yang tidak sabar untuk melihat aksi kucing itu secara bersemuka dalam masa terdekat ini, jangan risau kerana anda boleh melihat paparan itu di laman YouTube.

Menurut laporan, papan tanda iklan tersebut antara yang paling menyerlah dan meskipun ia mungkin memerlukan sudut tertentu untuk melihat dalam kadar resolusi 3D, ia telah mencapai jumlah tontonan sehingga 190,000 bagi setiap orang yang melalui kawasan itu.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!