GRAB Family Account kini boleh digunakan di Malaysia.

Ciri ini membolehkan seorang ketua keluarga melakukan membayar tambang untuk kesemua ahli keluarga yang dimasukkan ke dalam Family Account.

Kami menyedari ciri ini kelmarin apabila notifikasi muncul secara tiba-tiba dalam aplikasi.

Sebelum ini, setahu kami, Family Account ditawarkan kepada pengguna di Singapura sahaja bermula Disember 2023.

Untuk menggunakan Family Account sila ke skrin tetapan akaun. Di bawah nama pengguna akan muncul pilihan menghasilkan Family Account.

Kemudian anda boleh menambah ahli keluarga dengan memasukkan nombor telefon akaun Grab mereka atau menghantar jemputan menerusi pelbagai aplikasi pemesejan seperti WhatsApp dan SMS.

Ketua keluarga Family Account bukan sahaja dapat menjejak ahli keluarga apabila mereka mengguna perkhidmatan seru pandu Grab.

Terdapat juga ciri berbual dengan pemandu Grab sekiranya yang menaiki kenderaan dinaiki oleh anak.

Family Account pada waktu ini hanya menyokong pembayaran seru pandu Grab sahaja dan belum menyokong pembayaran perkhidmatan Grab lain seperti Mart dan Food.

Sila kemas kini aplikasi Grab anda hari ini untuk menggunakan ciri Family Account. -Amanz