Perkara utama yang perlu dijadikan pegangan ketika memilih untuk hidup berpoligami ialah tahu akan tanggungjawab sebagai suami dan menjadi pemimpin keluarga yang besar.
Bercakap melalui pengalamannya di dalam berpoligami, Mohd Nor Awang, 66, mengakui sendiri bahawa bukan mudah sebenarnya untuk berpoligami, apatah lagi memikul tanggungjawab kepada empat isteri.
Malah, ketua keluarga ini sempat berpesan kepada semua 18 orang anaknya sambil menegaskan poligami itu memerlukan kesungguhan dan juga keikhlasan dalam setiap tindakan diambil.
“Perkahwinan bukan perkara main-main, jika mempunyai seorang isteri pun sudah tidak mampu untuk menjadi sebagai seorang ketua keluarga yang baik, tidak mungkin mampu untuk beristeri lebih.
“Apa guna kalau kita mampu untuk berkahwin ramai jika suasana keluarga tidak aman dan ia adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya yang menetap di Kampung Tok Fakir, di sini.
Mohd Nor berpesan kepada kaum lelaki yang berhajat untuk berkahwin lebih daripada seorang agar mengenali diri sendiri, tahu keupayaan yang ada agar dapat memikul amanah dengan baik.
“Bukan untuk suka-suka. Apabila kita memilih poligami, kita perlu ikhlas dan tahu tanggungjawab kita. Perlu penuhinya dengan kasih sayang dalam setiap perbuatan kita," katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Nor lebih mesra dipanggil Abe Nor mempunyai empat isteri, Wan Rukiah Mat Yusoff, 62, Khalthum Dollah, 49, Noraini Daud, 50, dan Suzi Sulong, 44, dikahwini antara 1973 hingga 2008.
Dia memiliki 18 anak berusia antara 14 hingga 44 tahun dengan lima daripada sembilan anak lelakinya sudah berkahwin dan mempunyai lebih 20 cucu malah akan bertambah tiga lagi tahun ini.
Namun, dia tidak menafikan akan ada hati yang terasa tetapi sebagai nakhoda dia perlu mencari penyelesaian terbaik sambil memberitahu poligami bukanlah perkara senang atau untuk suka-suka dan jika niat salah untuk berpoligami, dia meminta perkara itu dilupakan sahaja.
"Jujur, ikhlas, kasih sayang, benda itu kalau seorang atau ramai kena ada, paling penting kasih sayang dan sebagai ketua keluarga besar ini kita kena dan perlu pupuk kasih sayang ini agar keluarga bahagia.
"Seluruh keluarga saya juga akan berkumpul sebulan sekali bagi mengeratkan hubungan kami, sembahyang hajat, baca yasin bersama. Sebagai ketua keluarga kita perlu menyatukan mereka semua," katanya.
Selain persefahaman katanya, faktor kewangan juga penting bagi memastikan setiap isterinya dapat menjalani kehidupan yang baik dan setakat ini Abe Nor bersyukur dengan rezeki diperoleh.
"Kalau orang bercakap biasanya berkata, anak adalah sumber 'rezeki' tetapi bagi Abe Nor, bukan sahaja anak tetapi isteri juga sumber rezeki. Semakin ramai isteri, rezeki juga semakin bertambah," katanya.
Ketika ditanya antara pengalaman tidak dapat dilupakan, dia berkata, antaranya ialah tiga isterinya mengandung serentak dan melahirkan anak pada tahun sama seterusnya berpantang dalam masa sama.
Menurutnya, walaupun kelihatan bahagia dengan kehidupan sekarang namun kebahagian itu tidak datang bergolek malah perlu melalui pelbagai cabaran yang mungkin tidak mampu dilalui oleh orang lain.
Enggan berkongsi saat sukar, beliau juga tidak mahu anak-anak mengikut jejak langkahnya kerana tidak yakin mereka mampu memikul tanggungjawab berkahwin lebih daripada seorang.
Percaya seseorang bapa lebih tahu kemampuan anak-anaknya, Abe Nor berkata, setakat ini tiada antara anak-anaknya berhasrat berpoligami kerana mengakui tanggungjawab itu sangat berat.
“Setakat ini, anak-anak tidak pernah menyatakan hasrat mereka untuk menambah ‘cawangan’, jika ada pasti Abe Nor akan menjadi orang pertama yang membangkang keputusan itu,” katanya.
Beliau berpendirian demikian demi memastikan semua anak-anaknya termasuk menantu dan lebih 20 cucunya hidup dalam suasana aman an dipenuhi dengan kasih sayang serta gembira.
Abe Nor ketika ditemui ditemani isteri kedua, Khalthum dan isteri ketiga, Noraini dan pertemuan diadakan di rumah Noraini kebetulan merupakan giliran bermalam di rumah isteri ketiganya itu.
Bagi Noraini, dalam hubungan suami isteri, mereka berkongsi suka duka kehidupan dan sebagai sebuah keluarga besar mereka tabah berhadapan kehidupan di masa susah dan senang.
Menurutnya, patuh dengan suami, hidup dalam nilai kasih sayang yang tinggi membuatkan mereka malah anak-anak tidak pernah bergaduh sebaliknya saling bertolak ansur dalam banyak perkara.
"Kami berkongsi semua perkara, paling penting setiap perkara dilakukan, dibuat secara bersama dengan nilai-nilai kasih sayang yang tinggi. Sebagai sebuah keluarga besar. InsyaALLAH," katanya.
Khalthum yang bersependapat dengan madunya itu berkata, faktor tolak ansur juga menjadi antara kunci kejayaan mereka berempat hidup bahagia sebagai sebuah keluarga besar sehingga kini.
Sinar Harian
Mon Aug 27 2018

Mohd Nor lebih mesra dipanggil Abe Nor mempunyai empat isteri, Wan Rukiah Mat Yusoff, 62, Khalthum Dollah, 49, Noraini Daud, 50, dan Suzi Sulong, 44, dikahwini antara 1973 hingga 2008. - Foto Sinar Harian

Donald Trump gelar Volodymyr Zelenskyy 'diktator'
Presiden Amerika gesa Presiden Ukraine bertindak segera capai perdamaian atau bakal kehilangan negara.

Tiga Olimpian ketuai cabaran ATC Putrajaya
ATC Putrajaya akan menyaksikan ketiga-tiga atlet berkenaan bersaing bersama 119 triatlet elit dari 20 negara.

Bahrain tekankan perpaduan dan kewujudan bersama dalam hal ehwal Islam
Bahrain juga komited memastikan perpaduan dan kewujudan bersama secara aman kekal sebagai asas kepada kemajuan negara.

Dunia perlu sokongan pelan pembangunan semula Gaza tanpa pemindahan penduduk - Presiden Mesir
Badr Abdelatty berkata, Mesir sedang merangka satu konsep menyeluruh dan berperingkat bagi pembangunan semula Gaza.

Google bayar US$340 juta kepada Itali selesaikan kes cukai tertunggak
Google dan pihak berkuasa kewangan Itali capai persetujuan serta menyelesaikan audit cukai bagi tempoh 2015 hingga 2020 tanpa prosiding undang-undang.

Rusia sedia sambung perbincangan berkenaan Ukraine - Putin
Dalam masa sama, kata Putin, membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.

WHO lapor penyakit baharu belum dikenal pasti di DR Congo
Dua kluster kes dan kematian berkaitan penyakit tidak dikenal pasti itu telah dikesan di dua zon kesihatan di Wilayah Equateur, DR Congo.

ACLE: Ini sebab Shandong Taishan tarik diri walau layak ke pusingan 16
Keputusan dibuat disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain dan selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan.

Shandong Taishan tarik diri saingan ACL Elite, laluan JDT masih samar
Shandong Taishan FC memutuskan untuk tidak menyertai perlawanan Peringkat Liga Zon Timur menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan semalam.

Melaka perhebat program gotong-royong hapus Aedes
Usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Kesihatan Negeri dalam memusnahkan tempat pembiakan yang boleh merisikokan penduduk.

'Empat isteri, bukan untuk suka-suka'
Perkara utama yang perlu dijadikan pegangan ketika memilih untuk hidup berpoligami ialah tahu akan tanggungjawab sebagai suami dan menjadi pemimpin keluarga yang besar.