Kemunculan peralatan bimbit atau digital semasa perjalanan tidak dapat dielakkan dan ini meningkatkan kebimbangan di kalangan ejen pelancongan mengenai peranan mereka untuk membantu pelancong.

Pengurus Kanan di TripAdvisor, enjin pencarian pelancongan yang dijana pengguna, Cheng Chek Lim memberitahu bahawa 50 peratus pelancong kini memanfaatkan peralatan mudah alih atau iPad untuk kaji selidik dan meneroka tarikan di destinasi terpilih.

Walaupun ada pandangan menyatakan bahawa segala-galanya tentang perjalanan telah berubah, beliau percaya tiada apa-apa mengenai aktiviti itu telah berubah kerana orang ramai masih menggunakan ejen pelancongan untuk menempah penerbangan dan hotel.

"Tetapi apa yang telah berubah ialah cara perjalanan kerana jika sebelum ini mereka menemui ejen pelancongan secara fizikal, tetapi sekarang mereka melayari ejen pelancongan maya untuk membuat persiapan yang perlu.

"Namun begitu, peranan ejen pelancongan tradisional belum diketepikan sepenuhnya kerana mereka kini menggunakan platform maya seperti media sosial untuk berkomunikasi dengan pelanggan melalui maklum balas atau ulasan," katanya semasa berceramah di 'Travel Tech Talks 2016' di sini malam tadi.

Dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), ia adalah siri kedua ceramah tersebut selepas yang pertama pada 28 Sept pejabat Google di sini.

Acara itu bertujuan memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada peserta industri pelancongan mengenai bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan secara holistik dalam indutri pengembaraan.

Sementara itu, Penolong Pengurus Akaun bagi Pembangunan Media dan Perniagaan di Growth for Knowledge (GFK) Akaun, Chin Wei Joa berkata interakasi manusia masih wujud dalam dunia maya dan sangat penting untuk memastikan viabiliti ejen pelancongan.

"Jangan sekali-kali memandang rendah kuasa ulasan atau maklumbalas kerana berdasarkan ulasan dan maklum balas-lah pelancong berkongsi pengalaman mereka.

"Mereka juga ingin tahu sama ada kakitangan hotel atau agensi berada dalam talian untuk menjawab soalan atau kritikan yang dimuatnaik oleh pelancong lain mengenai perkhidmatan mereka," kata beliau.

Beliau berkata jawapan daripada kakitangan tersebut akan menjadi satu daripada faktor yang akan menentukan sama ada bakal pelancong mahu menggunakan perkhidmatan mereka.

"Orang kini membeli-belah di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Fikirkan tentang bagaimana anda dapat memanfaatkan media baharu untuk membina perniagaan anda melalui media sosial," tambah beliau. -- Bernama